Usaha Malaysia sertai s’jaya hak asasi terjejas dengan merosotnya tahap kebebasan


Usaha Malaysia untuk menyertai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB tidak boleh dipandang serius jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus bersikap menindas terhadap kebebasan asasi, menurut kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di Afrika Selatan, Civicus.

“Kerajaan PN telah cuba mendiamkan bantahan aman dan menghalang penubuhan parti politik untuk mengekalkan kuasanya.

“Usahanya untuk menyertai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia tidak boleh dipandang serius kecuali ia mengambil langkah segera untuk menghentikan sekatan terhadap perhimpunan dan bepersatuan,” menurut penyelidik Civicus, Josef Benedict.

Setakat ini, kerajaan telah menghalang pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menjadi parti politik secara rasmi.

Kedua-dua entiti itu diketuai oleh mereka yang dibuang daripada Bersatu, parti utama dalam kerajaan persekutuan.

Pemerhatian Civicus itu susulan laporan yang diterbitkan bersama badan itu dengan kumpulan hak asasi berpangkalan di United Kingdom, Article 19, yang melihat kepada keadaan kebebasan asasi ketika tahun pertama pentadbiran PN.

Bertajuk “Rights in reverse: One year under the PN government in Malaysia”, laporan itu mendapati kerajaan telah secara agresif mengguna pakai “undang-undang menekan” seperti Akta hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA).

Pada Disember tahun lalu, Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata Malaysia sedang berusaha untuk mendapat tempat dalam suruhanjaya tersebut bagi penggal 2022-2024.

Civicus dan Article 19 dalam kenyataan bersama berkata, kerajaan PN telah menjejaskan dan menghalang pengamalan kebebasan asasi ketika 12 tahun mentadbir negara.

“Kerajaan bukan saja gagal memperbaharui atau memansuhkan undang-undang yang menghalang hak terhadap kebebasan bersuara, perhimpunan aman dan bepersatuan, tetapi telah memulakan prosiding jenayah tak berasas terhadap pengkritik kerajaan, pejuang hak asasi manusia, wartawan dan mereka yang memberi pandangan kritikal,” dakwa mereka.

Pegawai Program Article 19 di Malaysia, E Nalini berkata, tidak akan wujud persekitaran sihat untuk wacana awam selagi kerajaan tidak menghormati pandangan yang kritikal terhadap mereka.

“Kerajaan PN sangar berahsia berkenaan agenda legislatif tetapi jelas dalam niat mereka untuk terus menggunakan undang-undang menekan terhadap pengkritik,” katanya.

Laporan itu menunjukkan 66 penggunaan Akta Hasutan 1948 dan CMA dalam masa setahun.

“CMA juga telah digunakan untuk menyiasat lebih daripada 250 individu yang didakwa menyebarkan ‘berita palsu’ berkenaan Covid-19.

“Walaupun kerajaan ada justifikasi berhubung kerisauan terhadap maklumat salah Covid-19, hukuman berkaitan kesalahan di bawah CMA tidak seimbang dengan dakwaan kesalahan dan memberi kesan terhadap kebebasan bersuara,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga membangkitkan apa yang disifatkan sebagai kemerosotan dalam kebebasan media, dengan tindakan terhadap organisasi seperti Al Jazeera dan Malaysiakini.

Selain itu, ia juga menyebut tentang kebebasan berhimpun, termasuk penangkapan Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS).

Civicus dan Article 19 menggesa kerajaan PN untuk memulakan proses menyeluruh untuk reformasi institusi dan legislatif.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *