Umno tegas mendengar suara akar umbi tanpa kompromi


Beberapa hari menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU), Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jamaah Penasihat parti, Tengku Razaleigh Hamzah.

Pertemuan itu berlangsung di kediaman veteran Umno itu antara lain membincangkan beberapa isu semasa parti itu khususnya membabitkan suara akar umbi parti.

Ketiga-tiga pemimpin juga berkongsi hantaran mengenai pertemuan itu di media sosial masing-masing dan turut dilaporkan Umno-Online.

Walaupun media rasmi Umno tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan suara akar umbi, namun dipercayai ia merujuk kepada keputusan parti itu bahawa kerjasama dengan Bersatu hanya sehingga PRU15.

“Suara akar umbi… Apa yang diputuskan oleh akar umbi, Umno mesti tegas mendengar dan melaksanakan amanah akar umbi tanpa sebarang kompromi.

“Perhimpunan Agung Umno (PAU), platform terbaik untuk memperkukuhkan parti dan meneruskan kesinambungan solidariti di kalangan ahli serta pimpinan pelbagai peringkat.

“Jalan terbaik untuk memperkemaskan formula bagaimana Umno terus bergerak ke depan mendepani cabaran,” lapor Umno- Online.

Pada 8 Jan lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, penolakan Umno untuk bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 dibuat atas kehendak akar umbi parti.

Ia tidak mempunyai kaitan dengan kes mahkamah dihadapi pemimpin Umno.

“Jika kes mahkamah jadi punca Umno tolak Bersatu kenapa bahagian saya sendiri Pontian tidak usulkan tolak Bersatu?

“Dalam ucapan (mesyuarat) Pemuda dan Umno bahagian Pontian pada 3 Januari lalu, sepatah mengenai kes mahkamah pun saya tak sebut.

“Mereka (lebih 118 bahagian) tolak Bersatu sebab hubungan yang renggang di bahagian masing-masing dan sebagainya,” katanya menerusi ciapan di Twitter.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *