Umno, PKR tetap mahu sidang parlimen diadakan


Pemuda Umno dan PKR hari ini masing-masing menggesa kerajaan memanggil sidang parlimen diadakan dalam tempoh darurat.

Ini di sebalik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan bahawa jemaah menteri bersetuju sidang parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan.

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

“Bagi Pemuda Umno, parlimen harus dibenarkan bersidang dengan SOP ketat dalam situasi Covid-19, bagi membolehkan keberkesanan mekanisme semak dan imbang buat kerajaan sebagaimana tuntutan dan amalan demokrasi!

“Rakyat tentu sekali sukar untuk menerima alasan penangguhan parlimen yang dibuat kerajaan bahawa sebahagian besar anggota parlimen merupakan kumpulan berisiko dijangkiti Covid-19.

“Malah proses vaksinisasi juga sudah dimulakan terhadap ahli-ahli parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Asyraf berkata kerajaan tidak seharusnya dilihat takut dan cuba ‘memandulkan institusi demokrasi’ dengan menafikan suara dan mandat rakyat kepada ahli-ahli parlimen untuk berbahas, meluluskan rang undang-undang serta membawa isu dan masalah mereka di parlimen.

Nada yang sama disuarakan Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mengatakan kenyataan Takiyuddin bercanggah dengan titah Agong.

“Kerajaan seharusnya membenarkan demokrasi berfungsi selaras dengan titah baginda Yang di-Pertuan Agong.

Justeru itu saya menggesa kerajaan segera memanggil sidang parlimen bagi membolehkan ahli-ahli parlimen mengambil bahagian dalam usaha memerangi wabak Covid-19.

Kata Shamsul, demokrasi berparlimen seharusnya diraikan dan bukan direncatkan dengan alasan ‘tempang’.

“Beralasan mengambil kira faktor kesihatan dan terdapat ramai ahli parlimen berusia emas adalah alasan dangkal yang mencacatkan demokrasi.

“Wakil-wakil rakyat merupakan kumpulan pertama penerima Vaksin Covid-19. Sehubungan itu alasan kebimbangan berkait penularan wabak Covid-19 adalah tidak relevan,” tegasnya.

Terdahulu Takiyuddin berkata keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan Covid-19 dalam bangunan parlimen.

Selain itu Takiyuddin memaklumkan sebahagian ahli parlimen merupakan warga emas yang berusia 61 tahun ke atas dan berisiko dijangkiti wabak berkenaan.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *