Umno bagai mengata diri sendiri, kata Mas Ermieyati


Srikandi Bersatu Malaysia berpendapat tindakan Umno melemparkan pelbagai dakwaan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu tidak ubah seperti mengata diri sendiri.

Naib ketuanya Mas Ermieyati Samsudin berkata hal itu kerana kerajaan PN yang ada sekarang turut disertai pemimpin Umno dan mereka menguruskan negara bersama-sama.

“Kena ingat kerajaan PN hari ini bukan terdiri daripada Bersatu semata-mata, bukan daripada PAS sahaja, tetapi ada juga menteri daripada kalangan Umno.

“Jadi apabila terdapat tuduhan kepada kerajaan PN, seolah-olah mereka mengata diri sendiri, kerana kepimpinan kabinet yang utama menguruskan kesihatan datang dari Umno, yang menguruskan Covid-19 pun daripada Umno,” katanya.

Mas Ermieyati ditemui media selepas merasmikan Sriwanis Shop milik Koperasi Warga Kubang Kerian di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu ahli parlimen Masjid Tanah itu diminta mengulas perkembangan politik semasa selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno 2020, semalam.

Terdahulu perhimpunan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur dan secara dalam talian itu menyaksikan pimpinan Umno lantang membidas Bersatu.

Antara lain Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad mendakwa Bersatu turut mencuri ahli Umno dan melemahkan mereka untuk menubuhkan cawangan baru parti. 

Selain itu, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail turut mendedahkan cubaan Bersatu memujuk ahli Parlimen Cameron Highlands melompat parti. 

Mas Ermieyati yang juga timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi berkata, apa yang perlu diutamakan kini adalah membantu rakyat dan perdana menteri.

“Bagi pihak saya dan juga kawan-kawan, kami akan terus berkhidmat bagi membantu rakyat selain membantu perdana menteri.

“Fokus kita paling penting adalah berkhidmat kepada rakyat. Kalau kita asyik bercakap pasal politik, orang pun jemu.

“Apa pun yang diperkatakan, kita berlapang dada,” ujarnya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *