Tiada siapa pengaruhi Umno tolak kerjasama dengan Bersatu


Keputusan Umno menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU ke-15 tidak dipengaruhi mana-mana individu, kata Timbalan Presiden Mohamad Hasan.

Mohamad berkata, lebih 100 bahagian menggesa supaya Umno tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu dan ia bukannya keputusan perseorangan.

“Umno satu parti yang matang. Penolakan itu bukan kerana sesiapa. Umno tidak lagi bersama-sama Bersatu semasa pilihan raya nanti.

“Ia bukan keputusan seorang dua tetapi keputusan daripada lebih 100 bahagian, jadi tidak timbul isu dipengaruhi sesiapa,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional Negeri Sembilan, yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha.

Dia mengulas kenyataan bekas Setiausaha Agung BN Annuar Musa yang mendakwa Umno kini seperti sudah berada di bawah pengaruh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu Mohamad berkata, Umno kekal dengan pendirian bekerjasama dengan PAS untuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN), susulan gesaan lebih 100 bahagian untuk terus memperkasakan MN.

Sementara itu Rafiei berkata, PAS berpegang pada prinsip memperkukuh MN dan mempertahankan Perikatan Nasional, dan mengambil sikap sebagai pengantara sekali gus membentuk kerjasama dalam kalangan Melayu Islam.

“Kami di peringkat negeri akan melaksanakan apa yang diputuskan PAS pusat, dalam mesyuarat tadi, kami bersetuju menubuhkan pasukan petugas bagi melaksanakan program bersama Umno di peringkat negeri, bahagian dan kawasan,” katanya.

Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *