Takkan nak biar Bersatu terkontang-kanting sendiri hadapi PRU?


Di kala Umno hampir pasti memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu, PAS pula nampaknya masih tetap dengan pendirian tidak mahu meninggalkan mana-mana daripada rakan sekutunya itu menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

Kata Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad, kedua-dua parti itu telah membuat pengorbanan besar dalam menjayakan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Kamarulzaman berkata Bersatu dan Umno sama-sama telah melakukan pengorbanan besar membentuk pentadbiran PN.

Katanya, Umno sebagai sekutu dengan kerusi paling banyak, berkorban memberi laluan kepada perdana menteri daripada Bersatu.

Sementara itu, kata Kamarulzaman lagi, Bersatu pula telah membuat pengorbanan besar dengan sanggup keluar daripada Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk PN.

Oleh hal yang demikian, Bersatu tidak harus dibiarkan sendirian untuk menghadapi PRU-15, kerana katanya, prinsip berkawan bukanlah hanya berkawan ketika memerlukan semata-mata.

“Orang kata kalau PAS dengan Umno pun dah boleh, cukup untuk bekerjasama, boleh membentuk kerajaan pada PRU-15 dengan kedua-dua pangkalan yang ada.

“Tetapi bagaimana dengan pengorbanan rakan kita (Bersatu) yang sudah keluar daripada PH. Nak masuk PRU macam mana? Takkan nak biar mereka terkontang-kanting?

“Ini rakan yang tidak setia. Berkawan hanya masa perlu. Dah tak perlu, tendang letak ke tepi.

“Kita prinsip kita nak berkawan secara jujur dengan semua orang,” katanya.

Dia berkata demikian dalam wawancara bersama Suara Merdeka tengah hari tadi, ketika ditanyakan mengenai calon perdana menteri daripada parti manakah yang wajar diangkat sekiranya mereka menang secara bersama dalam PRU-15 nanti.

Bagi Kamarulzaman, isu yang paling penting bukanlah soal siapa perdana menteri, tetapi bagaimana ketiga-tiga parti itu dapat duduk bersama dan berbincang bagi mencari jalan mengekalkan kerajaan PN selepas PRU nanti.

Dia berkongsi nada serupa dengan beberapa pemimpin PAS yang mahu kerjasama antara ketiga-tiga parti itu diteruskan sehingga PRU-15, dan PAS katanya mengambil pendirian untuk memperkasa Muafakat Nasional (dengan Umno), dalam masa sama mempertahankan PN.

Untuk itu, katanya, setiap pihak di dalam PN harus menerima kebaikan atau keburukan, kelebihan mahupun kekurangan masing-masing, bagi membolehkan mereka menang pilihan raya akan datang.

“Maka PAS melihat bahawa, untuk politik menjelang PRU, semua pihak dalam kerajaan PN perlu duduk bersama untuk meneruskan kerajaan yang ada.

“Sebab tanpa satu sahaja parti politik ini, dia akan menjejaskan keputusan PRU15 nanti,” katanya.

Majlis Tertinggi Umno telah membuat keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu menjelang PRU15, menjadikan hubungan keduanya ibarat retak menanti belah.

Keputusan itu ditentang sebahagian Umno negeri dan pemimpin Umno sendiri, menyebabkan adegan dakwa-mendakwa yang mencetuskan gelaran-gelaran seperti kluster mahkamah, kluster menteri dan kluster broker di dalam Umno.

Hubungan Umno dan Bersatu sememangnya tegang sejak awal penubuhan PN, malah, kenyataan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sejak awal lagi memberi bayangan kerjasama antara kedua-dua parti itu hanya akan bertahan sehingga PRU15 sahaja.

Lebih-lebih lagi, Bersatu yang merupakan parti serpihan Umno, membuka pintunya untuk ramai ahli parlimen Umno melompat menyertainya ketika mereka bersama PH, selepas BN tumbang dalam PRU-14.

Pun begitu, kata Kamarulzaman dalam politik, tidak ada yang mustahil.

Malah, akuinya, PAS kini memainkan peranan untuk menjadi pendamai antara Umno dan Bersatu. 



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *