Sungai Kim Kim naik taraf menerusi program Denai Sungai Kebangsaan


Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, di Johor Bahru, menjadi antara kawasan rizab sungai perintis yang bakal dinaik taraf menjadi kawasan rekreasi menerusi Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) dalam usaha pemuliharaan sungai di negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata menerusi program tersebut, kawasan rizab Sungai Kim Kim akan dibangunkan sebagai kawasan rekreasi dengan pembinaan denai sungai.

Beliau berkata sepanjang 2,000 kilometer sungai terjejas di negeri ini dipilih daripada keseluruhan 10,000 kilometer sungai di seluruh negara akan dibangunkan menjadi tempat laluan dan rekreasi untuk masyarakat setempat.

“Pembinaan denai sungai itu adalah satu daripada pendekatan nature-based-solution (NBS) bagi menangani cabaran sosio-alam sekitar melalui pengurusan dan penggunaan alam yang lestari dan akan dilaksanakan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

“Kehadiran orang ramai di kawasan tersebut akan menghalang pihak tidak bertanggungjawab menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program ‘Gotong-Royong Sayangi Kim Kim’ sempena Hari Air Sedunia di Sungai Kim Kim hari ini.

.Gambar fail, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Zaini Ujang.

Menurut Hasni, pada peringkat permulaan, kos mencantikkan kawasan dan membina denai di Sungai Kim Kim berjumlah RM500,000.

Memandangkan Sungai Kim Kim mengalir di kawasan perindustrian, beliau berkata pelaksanaan program denai itu memerlukan kerjasama dan sumbangan daripada pihak industri yang berada di sekitar kawasan berkenaan untuk bersama-sama menjayakannya.

“Walaupun pelaksanaan program ini adalah inisiatif kerajaan, namun, badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat akan menjadi peneraju dengan menjadikan kawasan denai terpilih sebagai anak angkat serta melaksanakan pengindahan (penanaman pokok), penyenggaraan (gotong-royong) dan merangka program kesedaran di kawasan denai tersebut,” katanya.

Selain penglibatan pelbagai agensi di bawah KASA, empat institusi pengajian tinggi awam membabitkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut mengambil bahagian bagi membina landskap dan denai di sepanjang Sungai Kim Kim untuk manfaat penduduk setempat.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim bermula 7 Mac 2019 menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga menyebabkan 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang diarahkan tutup buat sementara.

– Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *