Suke tutup penuh laluan kejadian kren tumbang


Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (Suke) akan menutup penuh bahagian jalan di Taman Leng Seng dan Jalan Alam Damai, setelah kemalangan di tapak pembinaan Suke yang meragut nyawa tiga pekerja semalam.

“Bagi mempertingkatkan keselamatan pengguna dan orang ramai terjamin, pihak Suke telah mendapat kelulusan penutupan penuh jalan sedia ada di Taman Leng Seng (Zon 2) dan Jalan Alam Damai (Zon 3).

“Manakala di Persiaran Alam Damai (Zon 1), pihak Suke perlu memastikan terdapat laluan alternatif terlebih dahulu sekiranya cadangan untuk menutup Persiaran Alam Damai ini dilaksanakan,” maklum Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Mohd Shuhaimi Hassan dalam kenyataan hari ini.

Pagi ini, LLM bertemu dengan Kementerian Kerja Raya, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Suke, kontraktor dan pihak berkepentingan yang lain.

Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof mengarahkan pertemuan itu setelah sebuah kren pembinaan runtuh di lebuh raya Suke pagi semalam dan menghempap sebuah kereta, sehingga menyebabkan tiga orang meninggal dunia dan seorang cedera.

Kemalangan itu berlaku berhampiran kondominium Puncak Banyan di Persiaran Alam Damai, Cheras.

Mohd Shuhaimi dalam kenyataan hari ini berkata pertemuan itu juga memutuskan agar semua kerja pembinaan di lokasi tersebut dihentikan, kecuali kerja menyelamat dan kerja penstabilan struktur.

Suke juga diarahkan untuk memeriksa “launching gantry” (gantri kren khas) dan rasuk yang telah dilancarkan di tapak pembinaan.

Dia juga berkata Dosh dan CIDB kedua-duanya sedang menyiasat punca kemalangan dan akan mengemukakan laporan kepada kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Dosh Zailee Dollah memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan itu membincangkan mekanisme terbaik untuk meningkatkan standard keselamatan operasi untuk pembinaan Suke.

Dia juga memaklumkan yang mereka turut membincangkan kaedah terbaik untuk mengeluarkan mayat mangsa ketiga, yang masih terperangkap.

“Setakat ini, Dosh telah mengeluarkan notis yang melarang semua aktiviti mengangkat kren di pakej CA3 Suke,” katanya.


Laporan tambahan oleh Geraldine Tong



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *