SSM naikkan nilai ambang keterhutangan kepada RM50,000 secara kekal


Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menaikkan nilai ambang keterhutangan secara kekal bagi syarikat daripada RM10,000 kepada RM50,000 berkuat kuasa semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata inisiatif itu susulan keadaan ekonomi global dan dalam negara yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk pulih akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata tindakan mengekalkan nilai ambang keterhutangan syarikat kepada amaun melebihi RM50,000 berbanding nilai asal bertujuan mengurangkan beban serta impak kepada syarikat yang berdepan masalah aliran tunai daripada tindakan penggulungan.

“Kenaikan nilai ambang keterhutangan syarikat ini dijangka akan terus dapat mengurangkan jumlah petisyen penggulungan dan syarikat mampu meneruskan urusan perniagaan dengan yakin serta masih mematuhi undang-undang berdasarkan relief kekal nilai amaun keterhutangan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata jumlah RM50,000 tersebut dianggap bersesuaian kerana tidak terlalu rendah sehingga menyebabkan syarikat diambil tindakan penggulungan oleh pemiutang dengan jumlah hutang yang kecil.

Pada masa sama, Nanta berkata jumlah tersebut juga tidak terlalu tinggi sehingga menyebabkan pemiutang kecil terbeban akibat tidak boleh mengambil tindakan penggulungan terhadap syarikat yang berhutang.

Inisiatif ini adalah sebagai langkah sementara iaitu bermula dari 23 April 2020 sehingga 31 Mac 2021 bagi memberikan perlindungan kepada syarikat dengan nilai ambang keterhutangan yang lebih tinggi daripada nilai sedia ada iaitu RM10,000 agar risiko syarikat dikenakan tindakan penggulungan dapat dikurangkan.

Menurut Nanta, kesan pelaksanaan inisiatif tersebut menyaksikan hanya 665 petisyen penggulungan diserah simpan ke SSM bagi tempoh April hingga Disember lepas berbanding 1,760 pada 2019 dan 1,533 tahun sebelumnya.

“Penurunan ini sekali gus membuktikan bahawa inisiatif tersebut telah dapat membantu mengekalkan kelangsungan syarikat dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19,” katanya.

Inisiatif ini telah disenaraikan sebagai salah satu daripada agenda PEMERKASA di bawah inisiatif kesembilan : Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Mac lepas.

Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *