Shahidan cadang Zahid jelaskan saja pada parti


Anggota Parlimen Arau, Shahidan Kassim berkata sudah tiba masanya Ahmad Zahid Hamidi memberi penjelasan kepada parti berhubung rakaman audio perbualan yang didakwa antara presiden Umno itu dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Ini katanya, selepas Anwar seakan-akan mengiyakan klip audio berkenaan apabila ahli parlimen Port Dickson itu mempersoalkan adakah dia melakukan sebarang jenayah sekiranya rakaman itu tulen.

Shahidan berkata, Zahid perlu membuat penjelasan dan sekiranya benar klip audio itu tulen, dia harus berdepan tindakan disiplin daripada Umno.

“Bila Anwar kata “apa salahnya” itu dah menunjukkan macam dia mengaku audio itu, jadi untuk apa dua-dua pihak nak lapor polis lagi?

“Macam (Ahmad) Zahid pula kata nak lapor polis, tapi tak buat pun dan saya rasa kalau kenyataan Anwar macam ini, lebih baik Zahid jelaskan kepada parti saja. Tidak perlu buat laporan polis.

“Saya nak presiden yang saya kasihi ini buat penjelasan, kalau betul kita ambil tindakan disiplin sebab ahli Umno dah macam digantung tanpa hala tuju,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Untuk rekod, audio yang tular beberapa hari lalu memaparkan perbualan dua lelaki yang suara mereka mirip dengan suara Anwar dan Ahmad Zahid.

Dalam perbualan itu antara lain mereka memperkatakan mengenai Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 dan ucapan ahli parlimen Bagan Datuk itu semasa perhimpunan berkenaan.

Kedua-dua mereka menafikan ketulenan video berkenaan namun setakat ini tiada laporan polis dibuat oleh mereka.

Hari ini Ketua Polis negara, Abdul Hamid Bador meminta kedua-dua pemimpin berkenaan membuat laporan polis sekiranya merasakan diri mereka difitnah atau teraniaya 

Namun Anwar mempersoalkan adakah dia bersalah sekiranya klip audio selama empat minit itu disahkan tulen.

“Tapi apa isunya? Isu dia nak alih daripada soal rasuah sekarang, (isu) penggantungan parlimen, dasar (yang bermasalah) dan nasib rakyat.

“Ini yang dia nak alih, (sebaliknya) audio jadi keutamaan. Kalau betul, apa masalah dia? Ada (berlaku) khianat di situ? Ada jenayah? Tak ada,” katanya.

Sementara itu, pengerusi Umno Perlis itu turut membangkitkan semula dakwaan surat yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong, yang dikatakan ditandatangani Ahmad Zahid untuk menyatakan sokongan ke atas Anwar.

“Kenyataan Anwar yang berkata apa salahnya (jika audio tulen),  pengakuan tak jelas itu sekarang lebih tertumpu kepada surat yang ditandatangan Ahmad Zahid untuk sokong Anwar,” katanya.

Sebelum ini, bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa mendedahkan kesahihan surat sokongan Umno terhadap Anwar untuk dilantik sebagai perdana menteri yang ditandatangani Ahmad Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Annuar berkata dia mendedahkan surat berkenaan kerana tidak bersetuju dengan pendirian pemimpin Umno menyokong presiden PKR itu.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *