Saman, kompaun langkah terakhir pihak penguat kuasa


Kerajaan menganggap isu kompaun melibatkan kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam pencegahan pandemik Covid-19 sudah selesai dan pasukan penguat kuasa telah diingatkan bahawa saman atau kompaun adalah langkah terakhir dalam tindakan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata sebagai contoh, dalam suatu suasana apabila didapati ramai yang gagal mematuhi SOP, tugas penguat kuasa adalah memberi nasihat dan teguran terlebih dahulu.

“Jika tidak patuh juga barulah tindakan saman dilakukan kerana undang-undang perlu dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan tablet kepada pelajar sekolah di kawasan Parlimen Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Beliau berkata garis panduan baharu sudahpun dikeluarkan yang melibatkan tiga kategori kesalahan dengan nilai kompaun yang berbeza.

“Dan bila ada undang-undang perlu ada denda atau penalti. Berkaitan isu ini, sekiranya masih ada kekeliruan saya menyeru kepada semua pimpinan masyarakat supaya memberi penerangan kepada rakyat dan jangan lagi isu kekeliruan ini timbul,” katanya.

Rabu lepas, Takiyuddin berkata kabinet bersetuju menetapkan Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun Di Bawah Akta 342 Dan Peraturan-peraturan Di Bawahnya yang berkuatkuasa pada hari itu.

Antaranya, menawarkan diskaun 50 peratus atau 25 peratus kepada individu atau syarikat, sekiranya menjelaskan bayaran dalam tempoh ditetapkan.

Menerusi garis panduan itu, kesalahan ditetapkan dengan tiga kategori iaitu tinggi, sederhana dan normal, dan nilai kompaun sewajarnya dikenakan adalah mengikut kategori.

Kategori tinggi ialah kesalahan yang menyebabkan penularan yang tinggi atau impak jangkitan kepada komuniti dalam skala besar, sederhana adalah kesalahan yang menyebabkan penularan tinggi tetapi tidak memberi impak besar jangkitan kepada komuniti, manakala normal adalah kesalahan yang boleh menyebabkan risiko rendah dan tiada kesan kepada komunti.

– Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *