Sabah kuat kuasa SOP bas ekspress mulai esok


Kerajaan negeri Sabah bersetuju menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) bagi operasi bas ekspres yang menjalankan perkhidmatan mengambil penumpang dan barangan di seluruh negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), berkuat kuasa esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata antara SOP perlu dipatuhi oleh pemandu dan pengusaha bas ekspres ialah kapasiti bas dihadkan kepada 50 peratus berdasarkan tempat duduk bagi memastikan penjarakan fizikal sentiasa terjaga.

Beliau berkata pemandu dan penumpang juga perlu menjalani saringan gejala dan memeriksa suhu sebelum menaiki bas, selain perlu memakai pelitup muka sepanjang masa, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengurangkan interaksi antara satu sama lain di dalam kenderaan.

“Pemandu tidak dibenarkan bertugas sekiranya bergejala. Selain itu, pemandu atau pengusaha bas juga berhak menghalang penumpang menaiki kenderaan jika bergejala. Pemandu turut diminta membuat pengumuman peringatan berkala di dalam bas berkaitan pemakaian pelitup muka.

“Pengusaha bas ekspres hanya boleh mengambil dan menurunkan penumpang di terminal sahaja. Bas ekspres juga tidak dibenarkan singgah di mana-mana perhentian termasuk restoran,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Masidi berkata setiap penumpang yang melintasi zon diingatkan supaya mendapatkan kebenaran polis terlebih dahulu, dan pada masa sama, kerajaan negeri turut menggalakkan pembelian tiket bas ekspres secara dalam talian dan menggunakan kad transaksi bukan tunai seperti konsep pas bulanan dan aplikasi Touch ’n Go.

“Pemandu dan penumpang digalakkan mengguna pakai aplikasi Kod QR bagi mendaftar setiap kali menggunakan perkhidmatan bas melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual dengan menulis maklumat diri dan nombor telefon,” katanya.

Beliau berkata pengusaha juga digalakkan membuat semburan sanitasi di dalam bas setiap dua jam perjalanan.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata sebanyak 71 kes positif baru direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 di negeri ini ialah 53,864 kes.

Beliau berkata 77 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah pesakit pulih di Sabah seramai 52,711 orang.

Seramai 1,494 individu menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif 22,464 penerima sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri dilancarkan pada 4 Mac lepas, katanya.

– Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *