Polis siasat penganjur, peserta demo Undi18


Polis menyiasat penganjur dan peserta tunjuk perasaan menyokong Undi18 di luar bangunan parlimen di ibu negara hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah, yang dilihat memantau peserta bantahan, berkata semua yang telah dikenalpasti akan dipanggil untuk direkod kenyataan.

“Siasatan akan dijalankan bawah peruntukan undang-undang Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis.

“(Dan) Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021,” katanya pada satu kenyataan.

Peraturan berkenaan berkaitan dengan apa-apa aktiviti dengan kehadiran yang ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Kesemua yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

“Kertas siasatan akan diserahkan ke pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan telah selesai dijalankan,” kata Mohamad Zainal.

Terdahulu hari ini, anggota polis yang hadir di lokasi tunjuk perasaan tidak mengeluarkan arahan.

Sebahagian besar kawalan hadirin, terutama langkah penjarakan sosial, dilakukan oleh pasukan sukarelawan Amanah.

Beberapa amaran dikeluarkan daripada kereta peronda kemudian terdengar di sekitar Taman Tugu dan tempat letak keretanya, di mana kumpulan peserta perhimpunan berkumpul semula selepas meninggalkan kawasan pintu depan parlimen.

Kumpulan yang diketuai oleh Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Amir Abdul Hadi (gambar, atas) sebelum ini berarak dari Padang Merbok.

Mereka kemudian duduk bantah serta bertafakur selama 18 minit sebagai simbolik Undi18, beberapa ratus meter dari pintu parlimen.

Dua tuntutan penunjuk perasaan supaya kerajaan menepati janjinya melaksanakan usia mengundi pada 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik pada bulan Julai ini.

Ini susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa proses itu ditangguhkan hingga September tahun depan.

Pilihan raya umum ke-15 disebut-sebut akan diadakan pada bulan Ogos ketika proklamasi darurat berakhir.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *