Polis siasat dakwaan tahanan dipukul hingga potong kaki


Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata bahawa pihaknya telah mengarahkan siasatan terperinci dijalankan berhubung dakwaan seorang ibu yang mengatakan anaknya dipukul ketika dalam tahanan, sehingga menyebabkan kakinya terpaksa dipotong.

Jelas Arifai, satu siasatan rapi dan telus akan dijalankan bagi menyiasat dakwaan pengadu.

“Pihak polis IPD Gombak mengesahkan telah terima laporan polis berhubung pengaduan oleh seorang wanita mengenai tangkapan ke atas anak lelakinya yang mempunyai sejarah penyakit jantung dan diabetes.

“Pengadu mendakwa anaknya dipukul ketika dalam tahanan, sehingga menyebabkan kakinya perlu (telah) dipotong.

“Polis akan menjalankan satu siasatan berhubung laporan polis itu dan tindakan tegas akan diambil jika didapati ada pelanggaran peraturan dan undang-undang dalam kes ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta memberi komen berhubung satu laporan polis selama di mana seorang wanita mendakwa bahawa anaknya ditahan di ibu pejabat polis Gombak dan dipukul hingga kakinya telah dipotong dan kini berada dalam keadaan kritikal.

Dalam laporan itu yang dilihat Malaysiakini, S Thanaletchumy berkata anaknya, A Ganapathy, 40, ditahan pada 24 Februari bagi membantu siasatan terhadap seorang lagi anaknya yang dikehendaki polis.

Katanya, anaknya dalam keadaan sihat ketika ditahan walaupun mempunyai sejarah penyakit diabetes dan masalah jantung.

Namun, pada 8 Mac, dia menerima panggilan daripada seorang sarjan yang memaklumkan anaknya dibebaskan namun dimasukkan di ICU (unit rawatan rapi) Hospital Selayang. Dia juga dibersihkan daripada apa-apa kesalahan.

Ketika melawatnya di hospital, kata Thanaletchumy lagi, anaknya memberitahu dia dipukul oleh polis dengan paip getah.

“Keadaan anak saya sihat tetapi kini dia ada masalah buah pinggang dan kakinya telah dipotong (semalam),” katanya.

Sementara itu, Arifai berkata bahawa suspek telah ditahan bagi membantu siasatan kes samun gudang tilam serta melarikan kenderaan dan kes gaduh dan mengurung secara salah yang berlaku di kawasan pentadbiran IPD Gombak.

“Suspek telah dibenarkan reman selama 13 hari (sehingga 9 Mac) bagi kedua -dua kes tersebut.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya Selangor dan arahannya bagi kes samun suspek dijadikan saksi pendakwaan.

“Manakala bagi kes gaduh dan kurungan salah tiada sebarang pertuduhan. Suspek telah dibebaskan pada 8 Mac selepas suspek ditahan di wad Hospital Selayang selepas dibawa untuk rawatan pada 7 Mac,” katanya.

“Sepanjang dalam tahanan suspek telah dibawa ke Hospital Selayang sebanyak empat kali untuk menerima rawatan atas permintaan suspek iaitu pada 28 Feb, 3 Mac, 6 Mac dan 7 Mac,” tambahnya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *