Polis buka kertas siasatan dakwaan anggota buat gangguan seksual


Kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat dakwaan seorang wanita berlaku gangguan seksual melalui perkataan tidak sopan oleh pegawai polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Putrajaya semalam, kata Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali.

Mohd Fadzil berkata pegawai polis itu telah membuat laporan polis berkenaan hantaran yang dimuat naik di Twitter oleh wanita terbabit semalam pada lebih kurang 1.35 tengah hari dan menyatakan dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Mohd Fadzil berkata pada hari yang sama jam enam petang, pemilik akaun Twitter itu yang berumur 28 tahun telah tampil membuat laporan polis dan mendakwa pada 27 Mac (semalam) lebih kurang pada sembilan pagi, seorang pegawai polis telah membuat gangguan seksual terhadapnya dengan menuturkan kata-kata yang tidak sopan semasa melalui SJR di Putrajaya.

“Menurut wanita tersebut, apabila dia memaklumkan sedang dalam perjalanan untuk urusan perniagaan produk minuman susu, dia telah disoal dengan ayat ‘you perah sendiri ke susu tu?’ yang menyebabkan rasa tidak selesa dan tidak puas hati sehingga dia memuat naik hantaran di aplikasi Twitter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Fadzil berkata siasatan awal dijalankan oleh pihak polis berhubung dakwaan pegawai polis yang menafikan telah mengeluarkan perkataan yang tidak sopan semasa menyoal wanita tersebut yang mendapati pegawai tersebut sebaliknya bertanyakan berkenaan produk susu tersebut dengan ayat ‘You buat sendiri ke susu tu?’

“Petugas lain termasuk Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di lokasi kejadian juga telah disiasat dan menafikan berlakunya gangguan seksual sebagaimana dakwaan wanita tersebut,” katanya.


Baca: Wanita dakwa anggota polis buat gangguan seksual


Justeru, Mohd Fadzil berkata pihak polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat oleh kedua-dua pihak.

“Walau bagaimanapun, siasatan akan diteruskan setelah mendapat Perintah Penyiasat daripada Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara sebagaimana peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 108(2) Kanun Prosedur Jenayah.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin dan dirujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk keputusan selanjutnya,” katanya.

Dia berkata pihak polis akan menjalankan siasatan yang telus tanpa sebarang kompromi dan menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan dan spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menyalurkannya kepada Insp Muhamad Shamin Abul Qasim (Pegawai Penyiasat) di talian 03-8886 2068, Pusat Kawalan Daerah Putrajaya di talian 03-8886 2145 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.

Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *