PKPD di dua kawasan di Sabah mulai esok


Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di dua kawasan di Sabah iaitu Kampung Rimbayan, Keningau dan Kampung Simpang 3A, Merotai Besar, Tawau bermula esok hingga 15 April, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pelaksanaan PKPD itu berikutan pengesahan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa berlaku peningkatan kes secara mendadak di kedua-dua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dalam komuniti.

Menurutnya di Kampung Rimbayan, sebanyak 301 ujian saringan telah dijalankan dan daripada jumlah itu 29 kes positif direkodkan hingga semalam.

“Di Kampung Simpang 3A, sehingga semalam juga, 12 ujian saringan dilaksanakan dan daripada jumlah itu sebanyak tujuh kes positif direkodkan manakala empat lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan PKPD di Kampung Rimbayan bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti, selain menyekat penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain di lokaliti terbabit bagi Kampung Simpang 3A.

Mengulas mengenai kes ingkar PKP, beliau berkata hanya dua individu ditahan semalam dan kedua-dua mereka dikompaun atas kesalahan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran.

Ismail Sabri berkata pada masa sama, seramai 50 pendatang tanpa izin diberkas dan dua buah bot atau kapal serta lima kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 124 buah bot atau kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan dan pada masa sama, seramai 11 pendatang turut diusir melalui tiga aktiviti pengusiran,” katanya.

Mengenai saringan wajib pekerja asing pula, beliau berkata seramai 2,950 warga asing telah menjalani ujian saringan semalam dan daripada jumlah itu, 43 orang didapati positif Covid-19.

Beliau berkata secara kumulatif, seramai 667,896 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 34,653 majikan, dan daripada jumlah itu, seramai 10,116 orang disahkan positif jangkitan tersebut.

– Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *