Pengkaji temui mimbar masjib berusia lebih 100 tahun masih utuh


GOPENG: Mimbar berusia lebih 100 tahun dipercayai dihasilkan oleh pengukir terkenal abad ke-19 iaitu Allahyarham Megat Ja’afar, keturunan Megat Terawis, ditemui masih terpelihara dan utuh di dalam Masjid Ahmadiah Kampung Kepayang di sini.

Megat Ja’afar merupakan keturunan Megat Terawis iaitu Orang Kaya Bendahara Perak yang pertama pada zaman pemerintahan Sultan Perak pertama, Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I.

Ketua Jabatan Seni dan Reka Bentuk Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Harleny Abd Arif (pix) berkata mimbar dengan ketinggian lebih tiga meter itu mempunyai keunikan tersendiri.

“Dalam ratusan mimbar seluruh negara ini dan negara jiran yang saya kaji dan temui, saya dapati mimbar ini mempunyai kelainan dari segi inskripsi yang berada di bahagian dalam kerangka mimbar yang tercatat nama Megat Ja’afar berserta tahun pembuatan dalam angka Arab,” katanya kepada Bernama sewaktu melawat mimbar tersebut di Masjid Ahmadiah Kampung Kepayang, terletak kira-kira 30 kilometer dari Ipoh.

Katanya, angka versi Arab itu apabila diterjemahkan ke Rumi, ia mencatatkan tahun 1323 Hijrah, bersamaan tahun 1905 Masihi. Lebih menariknya, mimbar berkenaan dipercayai dihasilkan pada tahun sama masjid itu didirikan.

Harleny berkata antara keunikan yang terdapat pada mimbar yang diperbuat daripada kayu keras itu adalah motif ukirannya diilhamkan daripada sumber alam semula jadi termasuk motif daun Kelumpang, daun Ketumbit dan daun Bayam Peraksi.

Katanya hasil kajian yang dijalankan sejak 2009 itu turut mendapati terdapat tiga jenis teknik ukiran yang diaplikasikan pada mimbar berusia lebih seabad itu iaitu teknik Tebuk Tembus Bersilat, Tebuk Timbul Bersilat dan Ukiran Layang.

“Kajian ini juga saya jalankan dengan merujuk Persatuan Keturunan Megat Terawis Malaysia bagi mendapatkan maklumat berkenaan Megat Ja’afar dan Persatuan Penggiat Seni Ukiran Kayu Malaysia (PENGUKIR) bagi mengesahkan jenis motif pada mimbar,“ katanya.

Menurutnya, terdapat juga mimbar yang dihasilkan Megat Ja’afar ada ditempatkan di Masjid Teluk Memali Seri Bougainvillea di Perak Tengah, kira-kira 16 tahun kemudian kerana ditemui terdapat inskripsi di bahagian belakang panel gunungan mimbarnya, sama seperti inskripsi yang dicatatkan pada mimbar Masjid Ahmadiah Kampung Kepayang.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Ahmadiah Kampung Kepayang Mohd Sukri Saad ketika ditemui memberitahu pihak pengurusan masjid sentiasa memelihara mimbar yang ditempatkan di masjid berusia lebih seabad itu supaya tetap terpelihara.

Menurutnya, sejarah mimbar itu amat terkenal dan dikagumi oleh penduduk asal di kampung itu yang sering mengunjungi masjid berkenaan.

“Ini adalah antara masjid tertua di sini selain Masjid Teluk Memali yang terletak kira-kira 13 kilometer dari sini.

“Antara kerja-kerja penyelenggaraan yang kita lakukan termasuklah menitikberatkan penjagaan kayu dengan mengecatnya semula,“ katanya.

Mohd Sukri berkata mimbar itu tetap kukuh sehingga ke hari ini kerana pembuatanya menggunakan teknik cantuman baji tanpa menggunakan sebarang paku.- Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *