Pemuda Umno cadang dasar jaminan pekerjaan tangani pengangguran


PAU 2021 | Timbalan Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan mencadangkan skim jaminan pekerjaan sebagai satu langkah menangani pengangguran, terutama di kalangan golongan muda.

Shahril berkata, ini sepatutnya dimasukkan dalam manifesto pilihan raya Umno, berbanding janji klise mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Melalui skim jaminan pekerjaan atau job bank, setiap rakyat Malaysia boleh disediakan peluang pekerjaan oleh kerajaan.

“Ketika sektor swasta tiada pekerjaan (untuk ditawarkan), kerajaan boleh sediakan dalam bidang yang membantu menaikkan kualiti hidup dan keluaran ekonomi,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung Pemuda Umno di PWTC, Kuala Lumpur semalam.

Antara contoh yang diberikannya termasuk sebagai pembantu pentadbiran di sekolah, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mempercepat pelaksanaan Undi 18, dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menjaga warga emas dan mereka yang sakit, agar anak-anak mereka tidak perlu berhenti kerja untuk menjaga mereka.

Katanya, kerja-kerja seumpama itu boleh diwujudkan di daerah agar golongan muda tidak perlu berpindah ke bandar besar untuk mencari pendapatan.

Shahril berkata kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk memberi bantuan wang tunai, subsidi pekerjaan dan inisiatif lain untuk membantu golongan muda yang menganggur.

“Jadi apalah sangat kalau belanja RM20-30 bilion untuk sediakan pekerjaan,” katanya lagi.

Menurutnya, antara negara yang telah melaksanakan dasar jaminan pekerjaan adalah Perancis, Australia, Afrika Selatan dan India.

“Kalau kita tak berani buat untuk semua orang, kita buat dulu untuk golongan berusia 35 tahun ke bawah. Kita buat untuk setahun.

“Tengok apa yang akan jadi,” katanya.

Bagi Shahril, yang juga Ketua Penerangan Umno, parti itu patut mengangkat cadangan itu, dan cadangan-cadangan lain yang radikal tetapi realistik, untuk menarik sokongan pengundi dalam PRU akan datang.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *