Pemuda MIC harap pengambilan pelajar India di institusi pendidikan ditingkatkan


Meningkatkan pengambilan pelajar India yang layak terutamanya dari golongan B40 ke universiti awam, politeknik, Kolej Latihan Teknikal dan Vokasional, Kolej Matrikulasi, Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains Mara, merupakan antara empat resolusi Pemuda MIC pada Perhimpunan Agung pergerakan itu kali ke-33 hari ini.

Pemuda MIC dalam kenyataan hari ini menyatakan, isu-isu berkenaan telah diperjuangkan oleh pergerakan itu sekian lama, dan memandangkan Barisan Nasional merupakan salah satu komponen kerajaan semasa, satu jalan penyelesaian holistik perlu dirangka bersama Kementerian Pendidikan, agar pelajar-pelajar India yang berkelayakan diberi peluang dan ruang yang sewajarnya, untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Isu berkaitan pendidikan itu merupakan antara empat resolusi pergerakan itu, dengan resolusi lain adalah berkaitan keusahawanan, peluang pekerjaan serta mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang telah diterima ahlinya secara sebulat suara.

“(Dalam aspek keusahawanan pula), satu dana khas perlu disediakan untuk melatih golongan belia India yang terjejas (akibat wabak COVID-19), melalui kursus dan latihan berkaitan keusahawanan, pengurusan kewangan dan pemasaran digital, agar mereka dapat memulakan perniagaan atau perkhidmatan mikro yang relevan dengan keperluan semasa,” menurut kenyataan itu lagi.

Berkaitan peluang pekerjaan, Pemuda MIC menyatakan, pihaknya percaya golongan belia India yang benar-benar layak perlu diberi pendedahan, peluang dan ruang, yang adil dan sewajarnya untuk bersaing secara sihat dalam sistem ekonomi negara.

Mengenai PRU15 pula, pihaknya berpendapat parti seharusnya lebih terbuka untuk mencalonkan wakil-wakil pemuda yang berkelayakan, bekerja keras untuk serta aktif dan agresif dalam menyelesaikan isu masyarakat India di peringkat akar umbi.

Dalam kenyataan berasingan, Wanita MIC pula meluluskan lima resolusi termasuk menyeru agar Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga merangka satu dasar yang lebih tegas dan juga efektif, bagi menangani gejala bunuh diri yang disebabkan oleh tekanan dan juga kemurungan wanita dan kanak-kanak.

Selain itu, mereka juga mahukan pengekalan sekolah-sekolah vernakular Malaysia seperti dalam Perlembagaan Persekutuan.

Wanita MIC Kebangsaan turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Presiden MIC Tan Sri Vigneswaran dan Ketua Wanita MIC Kebangsaan Usha Nandini Jayaram.

Mereka turut menyeru Presiden Parti untuk memberi peluang dengan melantik lebih ramai pemimpin dalam kalangan wanita parti itu, bagi meningkatkan penglibatan wanita termasuk di tahap penasihat, perundingan, Ahli Majlis dan Ahli Pelawat Hospital.

Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *