Pembinaan MRT3 diteruskan separuh kedua tahun ini


Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) yang ditangguhkan oleh kerajaan terdahulu akan dimulakan pada separuh kedua tahun ini.

Sehubungan itu Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pihaknya telah memberi tempoh tiga bulan kepada Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) untuk melakukan kajian pelaksanaan projek berkenaan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini, kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan projek MRT3 dan MRT Corp diberi tempoh selama tiga bulan untuk mengemas kini kajian melibatkan jajaran dan kos projek ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan ketersediaan operasi MRT laluan Putrajaya fasa satu dari Stesen MRT Sri Damansara Sentral ke Stesen MRT Kampung Batu, Kuala Lumpur sepanjang 17.5 kilometer.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Abd Rahim Bakri dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak.

Menurut Wee kos projek berkenaan kelak akan diputuskan berdasarkan kajian yang dijalankan oleh MRT Corp dan memberi jaminan kerajaan akan membuat pilihan yang paling menguntungkan dan memanfaatkan rakyat.

Pada 2018, Menteri Pengangkutan ketika itu Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata MRT3 ditangguhkan untuk mengurangkan bebanan hutang kerajaan.

Mengulas mengenai MRT Laluan Putrajaya, Wee berkata projek berkenaan kini 97 peratus siap dan dijangka akan memulakan operasinya pada Ogos depan.

Tambahnya baki tiga peratus projek laluan sepanjang 17.5 kilometer itu kini hanya melibatkan aktiviti pengujian dan pentauliahan sistem mekanikal dan elektrik serta operasi percubaan.

“Operasi percubaan akan melibatkan bahagian laluan yang akan beroperasi tanpa membawa penumpang,” katanya.

Tambah Wee lagi fasa kedua melibatkan baki laluan antara Kampung Batu ke Putrajaya yang sedang berjalan kini di peringkat 87 peratus siap dan dijangka memulakan operasi pada Jan 2023.

Kos keseluruhan pembinaan MRT Laluan Putrajaya ialah RM30.53 bilion.

– Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *