Pemandu lori kargo Malaysia mula terima vaksin di Singapura


Beberapa pemandu lori kargo Malaysia dan pengiring masing-masing mula menerima suntikan vaksin Covid-19 di Singapura hari ini.

“Saya dan seorang rakan adalah antara lebih 20 pemandu lori kargo yang tiba di kemudahan vaksinasi Sungei Kadut pagi ini untuk menerima suntikan dos pertama kami,” kata Mohd Osman Yazed ketika dihubungi Bernama.

Mohd Osman, 33, berkata beliau telah menerima panggilan dan teks Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS) minggu lepas dari pihak berkuasa Singapura yang berkaitan untuk menetapkan janji temu hari ini untuk menerima dos pertama vaksin Pfizer BioNTech.

Beliau kemudian segera memaklumkan majikannya mengenai perkara itu dan persediaan telah dilakukan untuk membolehkan dia dan rakannya memasuki negara itu pada tarikh ditetapkan.

“Saya tiba di kemudahan vaksinasi di sini pada kira-kira 10 pagi dari pusat pemeriksaan darat Woodlands. Proses itu telah berjalan dengan lancar. Sejurus menerima suntikan itu, saya telah diminta berehat selama kira-kira 30 minit untuk pemerhatian.

“Saya rasa sedikit lenguh di kawasan suntikan. Itu sahaja. Yang lain baik-baik sahaja,” katanya sambil menambah bahawa janji temu bagi suntikan dos kedua ialah pada 10 April depan.

Berasal dari Baling, Kedah, Mohd Osman berkata beliau telah dimaklumkan bahawa terdapat sebuah lagi kemudahan yang diwujudkan di Joo Koon untuk pemandu lori kargo yang memasuki Singapura dari pusat pemeriksaan darat Tuas.

Sementara itu, rakannya Mohammad Huzaimi Zainal Abidin, 23, berkata beliau sanggup menerima suntikan itu kerana perlu memasuki republik tersebut hampir dua kali sehari untuk menghantar barang.

“Ia demi kebaikan kesihatan saya juga,” kata Mohammad Huzaimi, pemandu lori kontena 40 kaki yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.

Ditanya jumlah pemandu lori kargo yang berada di kemudahan vaksinasi itu pagi ini, Mohammad Huzaimi berkata beliau tidak pasti namun mereka dilihat datang ke kemudahan tersebut semasa dia ingin meninggalkan tempat berkenaan.

Menerusi aplikasi Kumpulan WhatsApp ‘Lori Precast,’ beberapa pemandu lori dilihat berkongsi notifikasi SMS yang mereka terima daripada pihak berkuasa menyatakan bahawa mereka telah terpilih bagi program vaksinasi itu.

Ada yang janji temu mereka ditetapkan minggu depan.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pada 8 Mac menyatakan bahawa vaksinasi Covid-19 akan ditawarkan kemudian pada bulan ini kepada pemandu lori kargo dan pengiringnya yang memasuki Singapura dari Malaysia secara tetap.

Langkah itu bertujuan meminimumkan risiko jangkitan daripada pekerja yang terlibat dalam pembekalan barangan asas ke Singapura, menurut kementerian tersebut.

Pada 18 Mac lepas, Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu menyatakan bahawa pemandu lori kargo Malaysia dan pengiring masing-masing yang telah menerima kedua-dua suntikan dos akan diberikan sijil imunisasi.

Menurut kementerian itu, mereka akan dikecualikan daripada ujian semasa ketibaan (OAT) harian selama 14 hari daripada tarikh pengambilan dos kedua.

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Adham Baba pula berkata terdapat antara 3,000 hingga 4,000 petugas penghantaran yang memasuki Singapura secara harian.

– Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *