PAS cadang persempadanan semula kawasan parlimen negeri majoriti Melayu


PAS mencadangkan persempadanan semula kawasan pilihan raya di beberapa negeri-negeri majoriti Melayu, untuk menambah bilangan kerusi di parlimen.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, cadangan tersebut pernah disuarakan oleh parti itu, termasuk semasa era kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Tujuan kita mencadangkan perkara ini pertamanya kerana pertambahan pengundi terutama di sebelah Pantai Timur iaitu di Kelantan dan sebahagiannya di Kedah, Pahang dan Terengganu.

“Ada kawasan parlimen jumlah pengundinya sehingga 80,000 orang, jadi dari segi tanggungjawab wakil rakyat nak menjaganya, menjadi satu beban kepada dia. Sebab biasa(nya) dalam 20,000 sehingga 30,000 orang dan paling ramai 40,000 pengundi (sahaja),” katanya.

Beliau kepada demikian pemberita selepas Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, melihat kepada masalah tersebut, PAS mencadangkan supaya ditambah kerusi di kawasan negeri yang dikuasai majoriti Islam di Kelantan, Kedah, Pahang dan Terengganu.

“Di Kelantan walaupun kepadatan tidak tinggi ,tetapi jika mahu menambah kerusi wakil rakyat dalam kalangan Melayu memang patutlah, dan kita bukannya ada niat apa-apa.

“Kita harap ia diberi pertimbangan sebab sekurang-kurangnya ia boleh mengekalkan kerusi parlimen dalam kalangan Melayu di parlimen,” katanya.

Sementara itu mengulas sama ada PAS telah menerima jemputan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020), Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata setakat ini beliau tidak mempunyai maklumat mengenainya.

“Biasanya surat jemputan akan dihantar kepada PAS Pusat dan sekiranya dijemput pasti ada wakil akan dihantar. Sekiranya ada jemputan, parti biasanya akan memaklumkan siapa yang bakal hadir. Setakat ini saya sendiri tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan,” katanya.

– Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *