Menteri ‘tak sesuai’ cadang dialog, kata Majlis Gereja


Majlis Gereja Malaysia (CCM) menyifatkan “sangat tidak sesuai” untuk Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mencadangkan dialog sebagai penyelesaian untuk isu yang timbul susulan keputusan mahkamah membenarkan orang Islam menggunakan perkataan “Allah”.

Ini kerana kerajaan dan Menteri Dalam Negeri sedang membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

“Dengan sangat berhati-hati, dan mengambil kira perkara ini di peringkat Mahkamah Rayuan, kami berpendapat sangat tidak sesuai isu ini diselesaikan melalui dialog yang dicadangkan Kementerian Dalam Negeri, yang merupakan salah satu pihak yang membuat rayuan.

“Kami mengulangi bahawa masyarakat Kristian di Malaysia, terutama di Sabah dan Sarawak, sentiasa mahukan kehidupan yang aman dan harmoni serta sikap saling menghormati dengan komuniti agama lain,” kata Presiden CCM Ketua Biskop Melter Jiki Tais.

Hari ini, The Malaysian Insight melaporkan Hamzah sebagai berkata kementeriannya akan mengadakan dialog bersama sarjana Muslim dan Kristian pada akhir bulan ini untuk “menyelesaikan” isu tersebut.

“Saya akan menjemput para sarjana Islam dan ahli agama serta mereka daripada pertubuhan Kristian untuk duduk bersama agar kita semua dapat menyelesaikan masalah ini.

“Saya percaya ia perlu diselesaikan sekarang agar tidak berpanjangan dan menjadi beban di masa depan,” katanya seperti dipetik.

Pada 10 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nor Bee Ariffin memutuskan kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” – istilah Arab yang bermaksud Tuhan – pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Justeru, hakim memutuskan plaintif Jill Ireland berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Susulan itu Umno dan PAS menggesa agar keputusan itu dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Pada 15 Mac lalu, kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pada 11 Mei 2008, Ireland yang merupakan seorang penganut Kristian Melanau memfailkan saman setelah pegawai kastam merampas cakera padat berjudul ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’, sebaik tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

[Baca berita asal]



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *