‘Malaysia tak perlu ahli politik berebut jawatan PM ketika Covid-19’


Malaysia tidak memerlukan ahli politik yang sibuk berebut jawatan perdana menteri di tengah-tengah wabak Covid-19, kata Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon.

Menurut Chong, apa yang diperlukan negara pada masa ini adalah tokoh yang memberi sumbangan tanpa mengira kaum dan agama, seperti Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan pendakwah Ebit Liew.

Dia juga memuji ahli akademik Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi yang menurutnya giat mengadakan dialog antara kaum.

“Tokoh-tokoh sebeginilah yang diperlukan oleh Malaysia, bukannya mereka yang asyik ingin merebut jawatan perdana menteri sehingga mengkritik antara satu sama lain, ataupun parti yang melaungkan ‘ubah’ tetapi sebenarnya bermain politik dan kuasa di sebalik tabir,” katanya dalam sambutan ulang tahun ke-72 MCA di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

“Ramai yang mengejek kita kononnya kembali berkuasa melalui ‘pintu belakang’, kita menjadi ejekan di kedai kopi hinggalah ke laman sosial. Saya percaya saudara-saudari pasti banyak menerima tamparan sedemikian.

“Namun semua ini adalah perkara biasa, kita tidak perlu lawan perdebatan tahap rendah seperti ini,” katanya lagi.

Chong berkata MCA adalah “sebuah parti yang buat kerja” sejak penubuhannya dan akan terus berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Dia juga menggesa ahli parti itu untuk bekerjasama dengan kaum-kaum lain di Malaysia agar parti itu menjadi pilihan untuk semua.

[Berita lanjut menyusul]



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *