Lim gesa parti, MP beri jaminan tiada usul tak percaya pada PM


Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa semua parti politik agar memberi jaminan tidak akan ada usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dalam usahanya agar Dewan Rakyat kembali bersidang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata ia agar sidang Parlimen boleh memberi tumpuan kepada usaha melawan wabak Covid-19 dan soal Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai integriti dan profesionalisme pasukan polis.

“Marilah semua parti politik dan ahli Parlimen bersetuju untuk memastikan tidak ada sebarang usul tidak percaya semasa darurat ini, supaya Parlimen boleh fokus hanya kepada usaha melawan Covid-19, dengan memastikan terdapat usaha melibatkan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ dengan menggemblengkan usaha daripada individu-individu dan NGO agar negara dapat mencatatkan prestasi yang lebih baik dalam mengawal wabak ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memetik senarai prestasi negara menangani Covid-19 yang dikeluarkan Bloomberg, Lim berkata Malaysia masih termasuk dalam kalangan antara negara dengan prestasi terburuk di Asia Timur dan Asia Tenggara, walau tidak seteruk Amerika Syarikat, Brazil dan India dari segi jumlah keseluruhan kes.

“Gelombang ketiga wabak ini telah berterusan selama tujuh bulan sejak daripada PRN Sabah pada September tahun lalu dan sekarang kita masih gagal mengawal gelombang penularan ini untuk kembali ke kadar kes harian harian dua atau tiga angka,” katanya lagi.

Katanya lagi, Kabinet perlu mendengar titah Yang di-Petuan Agong berhubung sidang Parlimen ketika darurat, dan seterusnya menasihati baginda untuk mengadakan sidang parlimen.

Katanya, ia memandangkan perdana menteri telah menerima vaksin dan akan disusuli semua menteri dan ahli Parlimen.

Pada 24 Feb lalu, Agong bertitah parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.

Ia boleh diadakan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri, kata Istana Negara.

Perkara kedua yang dibangkitkan Lim adalah dakwaan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkenaan ‘kartel’ dalam pasukan itu.

“Kabinet tidak boleh mengabaikan pendedahan Abdul Hamid…dan juga isu mengenai masalah rasuah dan profesionalisme dalam pasukan polis, untuk membolehkan pasukan polis kita menjadi yang terbaik di dunia.

“Adakah kabinet akan berjaya untuk menyelesaikan masalah ini atau terus menjadi kegagalan walaupun sebagai Kabinet terbesar dalam sejarah negara?” soal Lim. 



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *