LHDN nafi bertindak dengan motif politik


Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini menafikan dakwaan pihaknya menjalankan kegiatan percukaian, seperti audit dan siasatan, dengan bemotif politik.

Ia selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut membuat penafian serupa, susulan dakwaan PH semalam bahawa ada agensi kerajaan persekutuan yang dijadikan “senjata politik” oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

LHDN berkata, kegiatan pungutan cukai, termasuk terhadap ahli politik, adalah untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang percukaian dan ia dijalankan tanpa rasa “takut atau pilih kasih”.

“Sebagai makluman, sistem pemilihan kes untuk tindakan penguatkuasaan LHDN adalah berdasarkan kriteria dari sudut kegagalan mematuhi perundangan percukaian semata-mata.

“LHDN tidak menyimpan maklumat kaum, agama apatah lagi kecenderungan politik individu di dalam pangkalan datanya kerana maklumat sebegini tidak membantu penilaian risiko sesuatu kes,” kata LHDN dalam kenyataan.

Terdahulu, SPRM dalam kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa suruhanjaya itu dijadikan sebagai ‘senjata politik’ dalam melaksanakan tindakannya.

SPRM juga menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab, serta boleh menjejaskan imej mereka.

Semalam, Majlis Presiden PH mendakwa pihaknya difahamkan ada usaha untuk menggunakan agensi kerajaan seperti polis, SPRM dan LHDN dalam memberi tekanan kepada ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Pada waktu ini, kami difahamkan tindakan-tindakan masih terus dilakukan bersekali dengan tekanan untuk ahli-ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin,” kata mereka.

Mereka juga mendakwa tekanan tersebut telah diberikan kepada Lim dan isterinya, dua ahli Parlimen PKR yang keluar parti baru-baru ini iaitu Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau), dan kini “secara tidak langsung” Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar.

Bagaimanapun, Choong hari ini menafikan bahawa dia ditekan untuk menyokong PN.

Dalam pada itu, LHDN menegaskan pihaknya sentiasa adil dan saksama kepada semua pembayar cukai serta bertindak berpandukan undang-undang percukaian negara.

“Pada masa yang sama, maklumat individu atau syarikat yang dikenakan tindakan autdit dan siasatan juga tidak didedahkan oleh LHDN kerana tertakluk kepada peruntukan kerahsiaan,” jelasnya.

Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan taksiran yang dibuat boleh membuat rayuan, kata LHDN lagi.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *