Langgar SOP: Letihlah, kata IGP


Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador menyatakan rasa kesalnya dengan sikap sesetengah pihak yang suka menuding jari kepada pihak polis setiap kali ada pihak yang didakwa melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Abdul Hamid Bador berkata pihaknya sentiasa mengingatkan orang ramai termasuk orang kenamaan (VVIP) supaya mematuhi SOP yang ditetapkan.

Malah, katanya tindakan segera juga telah diambil sebaik sahaja laporan dibuat.

Bagaimanapun, kata Abdul Hamid apa yang berlaku itu amat meletihkan pihaknya.

“Macam-macam isu dia orang kata polis tak ambil tindakan bila VVIP hadir ke majlis kahwin itu, majlis kahwin ini.

“Letihlah kita orang (polis). Letihlah (nak layan) benda-benda macam ini.

“Saya tahu kalau nak layan dalam sosial media, satu pihak mengatakan macam ni, satu pihak mengatakan macam ni  – biarlah dia nak anjurkan majlis, kalau tak event organizer tak ada business, caterer (peramu saji) tak ada business, sikit-sikit itu adatlah.

“Tapi ada satu pihak lagi kata tak boleh, mesti ikut SOP. Jadi, polis pun ambillah tindakan, siasatlah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas siasatan terhadap 11 peserta perhimpunan yang membantah pelaksanaan Undi18 di luar bangunan Parlimen, Sabtu lalu.

Sementara itu majlis perkahwinan pengacara dan pelakon Neelofa dengan pendakwah selebriti Haris Ismail baru-baru ini mengundang kontroversi selepas didakwa melanggar SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

Ketua Polis Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan kertas siasatan sudah dibuka untuk menyiasat dakwaan itu.

Sementara itu mengulas lanjut tindakan terhadap 11 peserta tunjuk perasaan Sabtu lalu, Abdul Hamid berkata polis melihat perkara itu dari sudut Akta Perhimpunan Aman.

Katanya, ini kerana pihaknya tidak menggalakkan orang ramai keluar beramai-ramai menyertai himpunan seperti itu.

“Tidak lebih dari itu. Lagi satu (pasal) Covid-19 sama ada mereka patuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau tidak, itu saja.

“Saya tak galakkan orang ramai keluar beramai-ramai, berhimpun.  Sebab secara tak sedar kita akan melanggar SOP,” katanya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *