KPM digesa teliti kadar keciciran pelajar dari perspektif gender


Bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching meminta Kementerian Pendidikan melakukan tinjauan mengenai kadar keciciran pelajar lelaki dan perempuan setelah sekolah dibuka semula.

Bercakap dalam forum dalam talian semalam, Teo berkata sangat penting bagi kementerian itu untuk meneliti kadar keciciran daripada perspektif gender.

“Kami sedar ketika pendidikan sekolah menengah tidak diwajibkan, kerana sesetengahnya ada isu keluarga, ibu bapa cenderung untuk tidak menghantar anak perempuan mereka ke sekolah.

“Kadang-kadang mereka fikir bahawa mengahwinkan anak gadis mereka adalah salah satu jalan keluar. Atau kerana keluarga sebenarnya memerlukan bantuan tambahan untuk membuat kuih-muih. Walaupun gadis itu sangat berminat untuk belajar, ibu bapa enggan menghantarnya ke sekolah.

“Ibu bapanya akan tanya, ‘Siapa yang akan menolong kita membuat kuih-muih jika anak-anak perempuan kita bersekolah?” kata Teo menegaskan terdapat kes seumpama itu semasa dia bertugas di kementerian pendidikan.

Teo berkata kementerian itu perlu meneliti kadar keciciran di sekolah apabila sekolah rendah dibuka semula pada Mac dan sekolah menengah dibuka kembali pada April depan.

Katanya, pada masa ini pendidikan hanya diwajibkan sehingga tahun 6 atau berumur 12 tahun.

Ahli Parlimen Kulai itu juga berkata undang-undang perlu dipinda agar  pendidikan diwajibkan sehingga ke Tingkatan 5 atau berusia 17 tahun. 

Dia berharap kementerian memberikan penekanan terhadap perkara itu.

“Selepas Tingkatan 3, para pelajar boleh memilih untuk mengikuti pendidikan vokasional, yang juga merupakan satu bentuk pendidikan,” katanya.

Teo bercakap dalam forum dalam talian bertajuk “Multi-stakeholders Virtual Dialogue: Where are Women in Malaysia Headed? yang dianjurkan oleh Pusat Sumber & Penyelidikan Asia-Pasifik untuk Wanita (Arrow) dan Inisiatif Kesetaraan Gender di Malaysia.

Pemimpin Umno, Dina Abu Zahar, pemimpin Muda Thanussha Francis Xavier, dan CEO TMC Life Sciences Nadiah Wan juga menjadi panelis dalam forum tersebut.

[Baca berita penuh]



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *