K’jaan Pahang gerak misi bantuan ke Pulau Tioman


Kerajaan Negeri Pahang menggerakkan misi bantuan bekalan makanan dan keperluan ke Pulau Tioman, Rompin, kira-kira 160 kilometer dari Kuantan, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata misi bantuan segera itu akan diselaras oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang Datuk Seri Mohd Johari Hussain, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman.

Penghantaran bantuan turut membabitkan agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Tanah Rompin, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Majlis Tindakan Sosial Pahang.

“Keutamaan kerajaan negeri ialah aspek kesihatan dan kebajikan penduduk di pulau tersebut. (Terdapat) seramai 860 keluarga yang diharapkan tidak terkesan teruk daripada pelaksanaan PKPD bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Saya berharap penduduk terlibat bersabar dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa serta mematuhi semua prosedur operasi standard yang ditetapkan,” menurutnya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di Pulau Tioman mulai 16 hingga 29 Mac selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

Beliau berkata sehingga 14 Mac lepas, KKM telah melaksanakan 48 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 16 kes positif direkodkan.

– Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *