K’jaan fokus tangani kemiskinan akibat Covid-19, kata Mustapa


Kerajaan akan terus memberi fokus untuk mengurangkan kadar kemiskinan negara yang dijangka meningkat berikutan penularan pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata berdasarkan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) 2019, peratusan kadar kemiskinan bagi tahun itu adalah pada 5.6 peratus dan peratusan itu mungkin melonjak kepada 8.4 peratus.

“Kajian semakan semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) itu dilaksanakan pada 2019 dan ia diumumkan tahun lepas. Ia dibentangkan kepada kabinet. Jadi kajian ini tidak merangkumi apa yang berlaku pada 2020.

“Kalau kita lihat pada 2020 iaitu semasa Covid-19 (melanda) dan sekarang, sudah pasti angkanya berbeza. Pada 2019, kadar kemiskinan adalah pada 5.6 peratus. Ada anggaran yang dibuat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semasa Covid-19 ini, ia mungkin naik kira-kira tiga peratus iaitu 8.4 peratus,” katanya dalam wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin baru-baru ini.

Mustapa berkata isu kemiskinan negara juga menjadi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang antaranya memberi fokus khusus kepada penghapusan kemiskinan tegar serta mengurangkan ketidaksamarataan sosioekonomi dengan melaksanakan program yang menyeluruh dan bersasar.

Selain itu, dia berkata RMK-12 juga memberi penekanan kepada agenda pemerkasaan bumiputera bagi mengurangkan jurang antara bumiputera dengan kaum lain, selain mempercepatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak dan negeri-negeri lain yang kurang membangun.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin ketika dihubungi Bernama berkata kajian terbaru itu kini masih di peringkat ujian rintis (pilot test).

“Kajian akan dilakukan pada pertengahan tahun ini. Buat masa ini, tengah buat “pilot test”. Keputusan (data) akan dikeluarkan dan dikongsikan kepada orang ramai sebelum hujung tahun hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapa juga dijadualkan membuat lawatan ke beberapa lokasi di Sabah bersama kerajaan negeri bermula minggu hadapan bagi mendapatkan data kemiskinan sebenar di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Katanya data yang tepat dan lebih terperinci diperlukan dalam merangka pelan yang sesuai bagi golongan yang memerlukan perhatian kerajaan.

“Masalah dengan data kemiskinan ini, ia banyak sumber. Contohnya kita ada DOSM, eKasih ada, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya. Kita nak pastikan data mengenai kemiskinan ini tepat.

“Kalau tengok DOSM mengatakan 405,441 bilangan isi rumah miskin, tetapi kita dimaklumkan mungkin lebih daripada itu. Oleh itu kita akan turun ke lapangan untuk melihat keadaan sebenarnya. Kita akan ke Sabah untuk memperakui dan mengesahkan angka-angka berhubung kemiskinan,” katanya.

Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *