Khairuddin kini pimpin Pejuang di Wilayah Persekutuan


Khairuddin Abu Hassan yang dikenali ramai sebagai penyokong setia Dr Mahathir Mohamad kini dilantik menjadi pengerusi Parti Perjuangan Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan.

Dalam kenyataan dikeluarkan sendiri oleh Khairuddin hari ini, dia merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti itu dan sedia menggalas amanah berdasarkan kepercayaan diberikan.

“Ini bukan satu pelantikan untuk diri saya mendabik dada tetapi sesungguhnya pelantikan ini merupakan satu amanah yang amat berat untuk dipikul.

“Bagi saya ini merupakan amanah di antara manusia sesama manusia dan manusia dengan Allah SWT,” katanya.

Menurut Khairuddin sebagai ketua Pejuang Wilayah Persekutuan dia menyedari permintaan serta keperluan rakyat amat sofistikated dan kompleks.

Justeru katanya ia menjadi cabaran yang hebat untuk dia dan ahli Pejuang menggalas tanggungjawab itu secara efektif.

“Agenda untuk memakmurkan dan mensejahterakan penghidupan rakyat merupakan wadah perjuangan terpenting Pejuang,” katanya.

Khairuddin merupakan bekas naib ketua Umno Batu Kawan Pulau Pinang dan meninggalkan parti apabila dia aktif menentang presiden Umno ketika itu Najib Razak.

Dia yang berjuang bersama Mahathir kemudiannya menyertai Bersatu buat seketika.

Khairuddin yang juga penyelaras gerakan Deklarasi Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pernah bertanding untuk kerusi Parlimen Jasin atas tiket Amanah.

Bagaimanapun dia dikalahkan calon BN, Ahmad Hamzah, dengan perbezaan 219 undi.

Khairuddin berkata, usaha mengatasi masalah kemiskinan rakyat di bandar akan menjadi teras utama perjuangan Pejuang.

“Sesungguhnya kita telah pun bersedia untuk mewujudkan jentera gerak kerja di peringkat akar umbi di Wilayah Persekutuan bagi melaksanakan agenda fardu kifayah, seterusnya bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya PRU ke-15 pada bila-bila masa.

“Pejuang mempunyai agenda tulen ke arah membela keseluruhan rakyat tanpa kira bangsa serta agama dan tetap berpegang erat pada prinsip untuk membina semula Malaysia baru demi kesejahteraan masa depan negara kita,” katanya lagi.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *