Kerajaan digesa dedah laporan petugas khas kes Amri Che Mat


Sebuah kumpulan masyarakat sivil hari ini mendesak kerajaan mendedahkan penemua pasukan petugas yang ditubuhkan pada bulan Jun 2019 untuk meneliti semula dakwaan kehilangan aktivis Amri Che Mat.

The Citizens Against Enforced Disappearances (Caged) mengatakan bahawa sudah dua tahun sejak siasatan awam Suhakam membuat keputusan sebulat suara bahawa Cawangan Khas polis terlibat dalam kehilangan Amri, seorang aktivis, dan pastor Raymond Koh, yang masing-masing hilang pada tahun 2016 dan 2017.

“Pasukan petugas yang diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Tinggi, Rahim Uda, tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan. Berdasarkan satu laporan berita, kami berpendapat ia telah menyelesaikan tugasnya dan menyerahkan laporannya kepada (Menteri Dalam Negeri ketika itu) Muhyiddin Yassin pada Januari 2020.

“Apa tindakan yang telah diambil oleh kerajaan dan polis sebagai tindak balas terhadap penemuan pasukan petugas itu? Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kabinet mesti mendedahkan laporan itu kepada orang ramai,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Pada 26 Jun 2019, dua bulan setelah siasatan Suhakam membuat kesimpulan mengenai kedua-dua kes tersebut, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan pembentukan pasukan petugas khas untuk meneliti semula dakwaan kehilangan Koh dan Amri. Ia diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Tinggi Abdul Rahim Uda.

Caged juga mengkritik keputusan pasukan petugas khas itu yang hanya meneliti kes Amri, hanuya kerana kes jenayah sedang berlangsung di mahkamah mengenai kes Koh.

“Terma rujukan petugas khas dirahsiakan, kecuali satu hal: ia hanya akan meneliti kes Amri, bukan Raymond (Koh).

“Mengapa? Kerana seseorang ‘telah didakwa’ atas penculikan Raymond. Sekarang seseorang itu telah dibebaskan dari proses mahkamah, seperti yang kita semua tahu akan terjadi,” kata kumpulan itu.

Mereka merujuk kepada perbicaraan jenayah bekas pemandu Uber, yang didakwa menculik pastor itu.

Lelaki itu dibebaskan dari tuduhan pada bulan Februari, dan sekarang hanya mempunyai satu tuduhan terhadapnya, iaitu tuduhan pemerasan yang berkaitan dengan kehilangan Koh pada tahun 2017.

“Bilakah kepemimpinan atasan polis dan kabinet akan bertindak untuk memulihkan reputasi polis, yang terjejas sejak penemuan Suhakam?

“Dedahkan penemuan pasukan petugas dan betulkan apa yang salah,” kata Caged.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *