JPJ sahkan 32 anggota ditahan SPRM


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan penahanan 32 anggotanya kerana disyaki terlibat rasuah dalam Operasi Sukat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu adalah hasil kerjasama rapat di antara mereka dan SPRM dalam usaha memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah yang mengakibatkan ketirisan kepada hasil negara.

“Pengurusan tertinggi JPJ berharap tindakan sebegini akan menjadi satu manifestasi jelas bahawa JPJ tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik JPJ berhubung aspek integriti.

“Inisiatif ini tidak akan berhasil jika tidak mendapat kerjasama padu daripada semua pihak terutamanya dalam kalangan warga kerja JPJ sendiri,” menurut kenyataan itu.

Justeru, pengurusan tertinggi JPJ merakamkan ucapan penghargaan kepada warga kerja jabatan terbabit yang sentiasa istiqamah menegakkan aspek integriti dalam menjalankan tugasan mereka.

Media hari ini melaporkan SPRM menahan 44 individu, termasuk 32 pegawai JPJ, seorang anggota polis trafik dan seorang bekas anggota polis trafik disyaki terlibat melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan di beberapa negeri.

Operasi secara besar-besaran di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka itu dibuat kerana disyaki melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan seperti membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal kenderaan.

Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *