Jabatan Penjara wujudkan 13 penjara satelit atasi kesesakan banduan


Jabatan Penjara mewujudkan 13 penjara satelit di seluruh negara sejak awal tahun ini bagi mengatasi kesesakan banduan di penjara.

Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Komisioner Penjara Ajidin Salleh berkata penjara satelit itu diwujudkan dengan menggunakan bekas lokasi Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang boleh menempatkan seramai 400 hingga 500 banduan.

“Penjara satelit ini merupakan antara inisiatif untuk mengurangkan kesesakan banduan di penjara, banduan baharu yang melibatkan kesalahan ringan akan ditempatkan di 13 lokasi penjara satelit yang telah dikenal pasti termasuk dua di Kelantan iaitu di Batu Jong, Kuala Krai, dan juga Pasir Mas.

“Selain itu, penjara satelit ini turut dijadikan sebagai zon tapisan untuk pesalah bagi menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum mereka dibawa masuk ke penjara utama,” katanya selepas melancarkan Master Of Trainer Modul Five Minute Intervention (FMI) dan Kursus Senamtari di Pusat Pemulihan Akhlak Machang.

Beliau berkata Jabatan Penjara Malaysia tidak menafikan berlaku kesesakan di penjara iaitu hampir keseluruhan penjara terutamanya di Pantai Timur yang melibatkan Kelantan dan Terengganu selain Sabah dan Lembah Klang yang melebihi 50 peratus daripada kapasiti ditetapkan.

Mengulas lanjut, Ajidin berkata selain penjara satelit, pihaknya juga mengambil inisiatif melaksanakan Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) di bawah kuasa Ketua Pengarah Penjara untuk melepaskan banduan lebih awal pulang ke komuniti.

Beliau berkata mengikut statistik, pemulihan dalam komuniti lebih efektif kerana mereka akan dicarikan kerja di syarikat-syarikat tempatan termasuk sektor perladangan, perkilangan dan lain-lain.

“Kita juga berharap mereka yang dilepaskan awal itu dapat diambil bekerja oleh majikan sebelum ini sekiranya ada ataupun majikan-majikan baharu,” katanya sambil menambah seramai 1,000 banduan di seluruh negara telah dibebaskan menerusi PBSL sejak November tahun lepas hingga kini.

Ditanya mengenai jangkitan Covid-19 melibatkan banduan, Ajidin berkata setakat ini, keadaan adalah terkawal malah pihaknya sentiasa menjalankan ujian saringan terhadap semua banduan bagi memastikan tidak berlaku penularan wabak itu di dalam penjara.

Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *