Ibu, bayi 14 hari maut dalam kemalangan


Seorang wanita dan bayi perempuannya yang berusia 14 hari maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan dalam nahas di Jalan Ampang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam kemalangan kira-kira 10.30 malam itu, anak lelaki mangsa yang berusia empat tahun cedera parah manakala suaminya yang berumur 34 tahun cedera ringan.

Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Saga dinaiki keluarga berkenaan dalam perjalanan dari arah Ampang ke Lembah Jaya, hilang kawalan dan terbabas serta melanggar pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan, katanya.

Menurut Mohamad Farouk, wanita itu yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan disahkan maut di tempat kejadian manakala bayinya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Ampang.

Katanya mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *