‘Hujah Rais Yatim tolak Undi 18 jika jawapan SPM tentu dah gagal’


Hujah Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim untuk menolak Undi 18 “kebudak-budakan,” tempelak Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil.

Malah Isham berkias membayangkan kedangkalan alasan yang dilontarkan ahli mahlis tertinggi Bersatu itu.

“Jika jawapan seperti ini diberi dalam kertas soalan SPM, tentunya Tan Sri Rais akan gagal,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Isham mengulas laporan portal dalam talian MalaysiaGazette yang memetik Rais berkata Undi 18 bukan setakat “menyusahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi mengelirukan ibu bapa.”

“Seorang yang berumur 18 thun bermakna habis tingkatan lima sahaja dah boleh mengundi.

“Cuba bayangkan di dunia Malaysia, di dunia barat jangan bawa.

“Soalnya adakah ini budaya kita? Ibu bapa dah bersediakah. Anak baru keluar tingatan terus hendak nak jadi ahli politik. Ini tidak mungkin,” kata Rais.

Menyanggah hujah veteran Bersatu itu, Isham menegaskan Undi-18 itu berkenaan kelayakan orang muda berumur 18 tahun untuk mengundi atau untuk mereka menjadi pengundi, ia bukan usul untuk mereka berpolitik atau menjadi ahli politik.

“Di Malaysia sekarang ada lebih kurang 15 juta pengundi, hampir semua (atau 99 peratus) daripada mereka bukanlah ahli politik atau sibuk berpolitik walaupun mereka mengikuti perkembangan politik. Jadi pengundi tidak bermaksud jadi ahli politik.

“Jika pengundi-pengundi muda berumur 18 tahun ke atas ingin mengikuti perkembangan politik dan pada masa yang sama mengambil bahagian dalam proses demokrasi melalui pembuangan undi, ini perlu dibenarkan malah digalakkan kerana mereka adalah pemegang taruh terbesar ke atas dasar-dasar kerajaan yang memberi kesan kepada mereka dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang sehingga mereka berumur 23 tahun,” katanya.

Jelasnya, jika anak muda tidak dibenarkan mengundi, ia adalah “suatu penganiayaan atau ketidakadilan besar kepada mereka.”

“Daripada 8 juta pengundi muda baru berumur 18 tahun ke atas yang dijangka akan layak mengundi secara automatik dengan Undi-18 tersebut, lebih dua-per-tiga atau 5 juta daripadanya adalah pengundi muda Melayu.

“Bagaimanakah kita hendak percaya yang Rais Yatim dan partinya Bersatu ini kononnya ingin memperjuangkan hak orang-orang Melayu jika mereka tidak benarkan berjuta-juta anak muda Melayu untuk mengundi,” soal Isham.

Untuk rekod Undi 18 membolehkan warganegara berusia 18 tahun dan ke atas layak mengundi. Melalui inisiatif digerakkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu pendaftaran juga berlaku secara automatik.

Seramai 211 ahli parlimen daripada 222 anggota Dewan Rakyat mengundi menyokong usul meluluskan rang undang-undang itu pada 16 Julai 2019, sebelum diluluskan pula – dengan majoriti dua per tiga – oleh Dewan Negara 10 hari kemudian.

Apabila Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Bagaimanapun, menurut Rais hari ini satu huraian baru mengenai RUU Undi 18 harus diperlihatkan.

“Saya tidak mengelirukan apa-apa tetapi saya juga berdiri teguh di belakang sentimen ibu bapa yang banyak mengeluh mengatakan adakah ini satu tindakan yang logik dalam konteks perjuangan kita di Malaysia.

“Yang di-Pertuan Agong setakat in masih belum menandangani undang-undang ini, apakah ertinya ini,” soalnya.

Kata Rais lagi, antara usia 21 tahun dan 18 tahun, ada tempoh selama tiga tahun.

“Apa salahnya kita tunggu sekejap sehingga mereka matang dan dapat berfikir dan ibu bapanya pun ada lunas ke mana menjurus hendak pergi,” jelasnya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *