Hakim perlu bebas buat keputusan tanpa tekanan mana-mana pihak


Setiap hakim perlu kekal bebas dalam memutuskan sesuatu kes tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak dalaman atau luaran.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, sebaliknya, kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman untuk memberi keadilan yang tidak berat sebelah adalah asas kepada badan kehakiman.

Justeru, katanya, hakim perlu melaksanakan tugas dengan standard yang tinggi, berintegriti dan berlaku adil dengan memberi peluang kepada semua pihak untuk didengar dan melayan mereka secara adil.

“Jika anda mempunyai pengetahuan mengenai fakta yang dipertikaikan atau mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak atau kepentingan dalam hasilnya, anda harus menarik diri daripada menentukan perkara itu,” katanya ketika berucap merasmikan Program Induksi Pesuruhjaya Kehakiman (JC), di Putrajaya, Isnin lalu.

Teks ucapannya dikeluarkan kepada media hari ini.

Hari ini, Tengku Maimun menyampaikan surat pelantikan jawatan kepada sembilan Pesuruhjaya Kehakiman dan turut menyaksikan lima Hakim Mahkamah Tinggi mengangkat sumpah ke jawatan Hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata hakim mempunyai hak untuk menyoal saksi bagi mendapatkan penjelasan semasa memberi keterangan tetapi tidak boleh melakukan pemeriksaan utama atau pemeriksaan balas dan menyoal saksi sehingga keterlaluan.

Beliau turut menegaskan dalam melaksanakan tugas kehakiman, hakim tidak mempunyai keistimewaan untuk memilih kes dan oleh itu terikat mendengar kes yang menarik perhatian awam atau kes membabitkan tokoh masyarakat.

“Walaupun Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan saya bertanggungjawab dalam hal-hal dasar dan memastikan hakim mematuhi dasar sedemikian, kami tidak dalam apa jua keadaan pun mengarah atau menentukan keputusan anda,“ katanya.

Menurutnya, para hakim mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk memutuskan kes mengikut undang-undang dan fakta serta bertanggungjawab mendukung integriti dan kebebasan badan kehakiman.

Tengku Maimun berkata nilai integriti bukan sahaja kemampuan menolak rasuah tetapi juga menghormati sepenuhnya nilai-nilai teras kebebasan, tidak berat sebelah, integriti peribadi, kesopanan, kesaksamaan, kecekapan dan ketekunan.

“Anda tidak perlu bimbang dengan apa yang orang lain boleh katakan tentang keputusan anda sama ada pihak eksekutif, cawangan perundangan, masyarakat umum bahkan rakan anda sendiri.

“Anda biasa dengar hakim dilabel sebagai konservatif atau hakim liberal.

“Tetapi hanya satu label yang saya pentingkan iaitu hakim tidak berat sebelah,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan hakim menulis alasan penghakiman yang akan meningkatkan penelitian dalam hujahan dan analisis keterangan yang membolehkan Mahkamah Rayuan memahami keputusan mahkamah rendah dengan jelas.

“Ia juga memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam sistem kehakiman,” katanya.

– Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *