Ejen insurans mohon mahkamah batal status peluk Islam secara sepihak


Seorang ejen insurans berusia 40 tahun memohon mahkamah untuk membatalkan status dirinya yang memeluk Islam secara sepihak ketika dia masih kecil.

Ini selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didakwa menolak membenarkannya menggugurkan agama Islam daripada kad pengenalannya.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini, wanita itu berkata bapanya secara sepihak mendaftarkannya sebagai seorang Muslim ketika dia berusia 10 tahun.

Dokumen yang difailkan di mahkamah itu mendakwa selepas memeluk Islam pada tahun itu, ayahnya telah mendaftarkannya sebagai seorang Muslim dengan nama baru di Jabatan Agama Islam Selangor.

Pemohon mendakwa ibunya seorang penganut ajaran Buddha tidak pernah memberikan kebenaran untuk dia menukar agama. Ibu bapanya bercerai pada tahun 1993.

Lahir di Singapura pada 1980, wanita itu, yang kini tinggal bersama ibunya di Kuala Lumpur, berkata dia tidak pernah mengamalkan ajaran Islam dan dia menganut agama Buddha.

Dia mendakwa pada Ogos tahun lalu, seorang pegawai di pejabat JPN di Ipoh, Perak, menolak memproses permohonannya untuk kembali menggunakan nama asalnya bukan Islam dan menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya.

Pegawai itu didakwa memintanya untuk mendapatkan perintah daripada Mahkamah Syariah sebelum JPN dapat memproses permohonannya.

Setelah JPN dikatakan menolak untuk mematuhi surat tuntutan yang dikeluarkan oleh peguamnya, pasukan perundangan wanita itu kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman mengenai perkara berkenaan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada bulan November tahun lalu.

Ketua Pengarah JPN, kerajaan Malaysia dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dinamakan sebagai tiga responden dalam tindakan undang-undang tersebut.

“Pemohon (ejen insurans) sepanjang masa tidak pernah menganuti dan mengamalkan agama Islam.

“Pemohon tidak pernah mengucapkan ‘dua kalimah syahadah’.

“Responden pertama (Ketua Pengarah JPN) tidak mempunyai rekod untuk menunjukkan bahawa pemohon telah memeluk agama Islam setelah mencapai usia 18 tahun,” kata pemfailan dibuat wanita itu.

Dia mendakwa menyifatkan tindakan ketua pengarah JPN atau para pegawainya memintanya untuk mendapatkan perintah daripada Mahkamah Syariah sebelum mereka dapat memproses permohonannya sebagai “tidak berperlembagaan, menyalahi undang-undang, tidak rasional dan dicemari oleh penyelewengan prosedur”.

Dia berpendapat penukaran agamanya terbatal kerana Mahkamah Persekutuan pada tahun 2018 menetapkan preseden undang-undang yang mengkehendaki kedua ibu bapa memberikan persetujuan untuk menukar anak mereka yang berumur bawah 18 tahun.

Pertukaran agama sepihak anak-anak Indira Gandhi

Ejen insurans itu memetik keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai rayuan yang melibatkan penukaran sepihak tiga anak guru tadika M India Gandhi.

“Diulangi bahawa ibu pemohon masih hidup sehingga sekarang dan tidak pernah memberikan persetujuan kepada ayah pemohon untuk menukar agama pemohon daripada Buddha (Buddhisme) kepada Islam.

“Responden ketiga (Mais) juga tidak pernah meminta kebenaran ibu pemohon sebelum mendaftarkan pemohon sebagai orang Islam.

“Dengan menggunakan ‘ratio decidendi’ (duluan keputusan kehakiman) yang diperoleh daripada kes Indira Gandhi, bahawa sijil penukaran Islam pemohon yang dikeluarkan oleh Mais atas permintaan bapa pemohon tetapi tanpa izin ibu pemohon, ketika pemohon berusia 10 tahun, adalah batal dan tidak sah.

“Tidak kira apa, setelah pemohon mencapai usia 18 tahun, pemohon bebas untuk menganuti dan mengamalkan agamanya tanpa pengaruh daripada mana-mana pihak, dan pemohon memilih untuk mengikuti dan mengamalkan agama Buddha,” katanya.

Dia juga menuduh tindakan ketua pengarah JPN dan Mais telah menafikan hak asas kebebasan beragama, walaupun hak tersebut dijamin oleh kerajaan Malaysia.

Permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mahkamah itu disokong dengan afidavit sokongan yang ditandatangani oleh ibu wanita berusia 71 tahun itu.

“Saya mengesahkan bahawa, pada setiap masa yang material, saya tidak pernah memberikan izin kepada bekas suami saya untuk menukar agama pemohon daripada Buddha (Buddhisme) kepada Islam.

“Saya mengesahkan responden ketiga (Mais) tidak meminta kebenaran saya sebelum mendaftarkan pemohon sebagai seorang Muslim.

“Saya mengesahkan bahawa setelah mencapai usia 18 tahun, iaitu pada 22 September 1998, hingga sekarang, pemohon hanya menganuti dan mengamalkan agama Buddha. 

“Kami berdua tinggal di rumah yang sama,” kata ibunya dalam afidavit itu.

Pemohon sedang meminta beberapa deklarasi mahkamah, antaranya dia seorang penganut dan pengamal agama Buddha.

Dia memohon mahkamah mengeluarkan perintah mandamus (perintah dikeluarkan mahkamah kepada pegawai kerajaan untuk memenuhi tugas rasmi mereka) supaya mengarahkan ketua pengarah JPN untuk mengeluarkannya MyKad baru dengan nama asalnya bukan Islam dan dengan menghapus perkataan agama Islam.

Dia memohon perintah mandamus untuk kerajaan Malaysia supaya memastikan ketua pengarah JPN mematuhi perintah mahkamah.

Dia juga memohon perintah mandamus supaya Mais menghapus namanya daripada Pendaftaran Muallaf (mualaf Muslim) dan juga untuk membatalkan kad masuk Islam yang dikeluarkan atas namanya bertarikh Oktober 1990.

Difahamkan, permohonan semakan kehakimannya ditetapkan untuk keputusan Mahkamah Tinggi pada akhir bulan ini.

[Baca berita asal]



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *