Dua kluster baru di Kelantan sebab tahap patuh SOP rendah


Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang rendah dalam komuniti dan di tempat kerja merupakan antara faktor wujudnya dua kluster baru di Kelantan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata dua kluster itu iaitu Kluster Paya Rambai melibatkan pekerja di sebuah premis perniagaan di Jalan Long Yunus, Kampung Paya Rambai, di Kota Bharu manakala Kluster Pengkalan Nangka pula melibatkan empat keluarga besar di Kampung Pengkalan Nangka di Tumpat.

“Kluster Paya Rambai telah melaporkan 30 kes dari daerah Kota Bharu, Tumpat dan Bachok setakat hari ini. Kes dalam kluster ini terdiri daripada pekerja premis tersebut dan ahli keluarga terdekat.

“Kluster Pengkalan Nangka pula telah melaporkan 20 kes hingga hari ini yang merupakan ahli keluarga terdekat. Ia masih tertumpu di daerah Tumpat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau turut mengingatkan rakyat Kelantan untuk terus mematuhi SOP norma baru bagi mengelakkan jangkitan terus berlaku dalam komuniti.

“Kita semua sebagai rakyat Kelantan perlu memainkan peranan penting dalam usaha melandaikan keluk pandemik Covid-19 di negeri ini,” katanya.

Kelantan merekodkan 86 kes baru hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negeri itu sebanyak 5,928 kes.

– Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *