BN rayu titah Agong agar sidang parlimen diadakan segera


BN merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar menitahkan sidang parlimen diadakan segera, kata pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata Seri Paduka boleh menggunakan kuasa wewenang baginda di bawah Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, yang dibaca bersama Perkara 40 (2) perlembagaan persekutuan.

“BN (juga) mengesyorkan ahli-ahli Dewan Rakyat menyeru perdana menteri serta jemaah menteri untuk menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya sidang parlimen diadakan dalam kadar segera, apatah lagi setelah pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dilonggarkan.

“Prinsip keluhuran perlembagaan perlu ditegakkan bagi membolehkan parlimen memainkan peranan yang wajar dalam memastikan semak dan imbang,” tegasnya dalam satu kenyataan malam ini

Antara lain kata Zahid, sidang parlimen itu akan dapat membentangkan bahawa pengisytiharan darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 2021) dibuat bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketelusan dan kedaulatan undang-undang.

Selain itu katanya, parlimen juga dapat membincangkan keberkesanan langkah-langkah membendung penularan wabak Covid-19 dan keberkesanan pelaksaaan Belanjawan 2021 demi memastikan kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan B40.

Sehubungan itu Zahid berkata sekiranya diperkenankan, dia sedia menghadap Seri Paduka bagi menyampaikan pandangan bagi pertumbuhan sosioekonomi negara, terutama rakyat miskin. 

Takiyuddin cabar titah Agong

Katanya lagi, BN menganggap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (parlimen dan undang-undang), Takiyuddin Hassan bahawa jemaah menteri menasihatkan Agong supaya menidakkan sidang parlimen semasa tempoh darurat seolah mencabar titah baginda.

“Dalam perkara ini BN memohon ampun kepada Seri paduka baginda Yang di-Pertuan Agong sekiranya kenyataan menteri tersebut menyinggung hati duli tuanku,” jelasnya.

Kelmarin Takiyuddin dilaporkan berkata jemaah menteri bersetuju agar sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan Covid-19.

Takiyuddin berkata keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan wabak di dalam bangunan parlimen.

Selain itu menteri itu memaklumkan sebahagian ahli parlimen adalah warga emas berusia 61 tahun ke atas yang berisiko dijangkiti wabak berkenaan.

Beberapa pihak berkata kenyataan Takiyuddin itu bercanggah dengan kenyataan dikeluarkan Istana Negara pada 12 Jan menyatakan Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

Perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat perdana menteri.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *