Bersih gesa polis henti intimidasi terhadap peserta demo Undi18


Gabungan pilihan raya bersih dan adil (Bersih 2.0) menggesa pihak polis  menghentikan ‘intimidasi’ terhadap peserta perhimpunan pada hujung minggu lalu yang membantah keputusan kerajaan menangguhkan penurunan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Ini selepas polis memaklumkan akan menyiasat 11 peserta perhimpunan itu di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman kerana gagal memberikan notis 10 hari sebelum berhimpun dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pindaan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No.4) 2021.

“Bersih 2.0 menyeru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghentikan intimidasi dan tekanan kepada aktivis anak muda yang berhimpun dalam Himpunan Tuntut Undi 18 pada 27 Mac lalu.

“Pihak PDRM perlu menghormati kebebasan rakyat untuk bersuara menyatakan tuntutan mereka, apatah lagi tuntutan tersebut adalah bagi menggesa kerajaan untuk menghormati keputusan parlimen berkenaan pelaksanaan Undi 18,” katanya dalam kenyataan.

Bersih juga mengingatkan PDRM untuk tidak menyalahgunakan akta berkenaan dan menghormati Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman.

“Tindakan intimidasi seperti ini hanya membazir masa dan sumber oleh pihak polis yang perlu disalurkan terhadap kegiatan jenayah yang lebih membahayakan keselamatan rakyat dan negara,” kata mereka.

Antara yang dipanggil termasuk ahli parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang hadir semasa perhimpunan di luar parlimen.

Yeoh, dalam satu kenyataan, berkata dia hadir ke parlimen selepas dimaklumkan terdapat perhimpunan aman oleh anak-anak muda bagi membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pada 2019, saya merupakan salah seorang ahli parlimen yang telah bersetuju perlaksanaan Undi18 di Parlimen.

“Sebagai ahli parlimen yang bertanggungjawab, saya ke sana untuk melihat apa yang berlaku di kawasan parlimen saya yang mendapat liputan meluas daripada media. Bagaimanapun ketika saya sampai, anak-anak muda ini sudah mula mahu bersurai.

“Pada pandangan saya, selari dengan keputusan di parlimen bagi perlaksanaan Undi18, jika seseorang yang berusia 18 tahun telah cukup matang untuk dibenarkan memandu atau berkahwin, mereka juga berhak untuk mengundi,” katanya.

Katanya, parlimen telah membuat keputusan pada tahun 2019, namun kini tidak lagi tidak bersidang. 

“Anak-anak muda ini tiada tempat untuk meluahkan kekecewaan mereka melainkan di Parlimen itu sendiri.

“Saya berharap polis dapat mengambil kira yang anak-anak muda ini hadir dan bersurai dengan aman, memakai pelitup muka dan mematuhi semua arahan polis,” katanya yang memaklumkan akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata dia dipanggil untuk memberikan keterangan pada pukul 2.30 petang esok.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *