Bersatu Sabah sambut baik kenyataan Bung untuk teruskan kerjasama


Bersatu Sabah menyambut dengan baik kenyataan Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin bahawa parti itu akan meneruskan kerjasama politiknya di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata ketua penerangannya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

“Ini untuk memastikan pembangunan negeri dan rakyat Sabah dapat direalisasikan.

“Bersatu Sabah cukup yakin dengan kepimpinan ketua menterinya dengan dibantu oleh Datuk Seri Bung akan dapat membawa satu kemajuan yang di mahukan oleh rakyat Sabah dapat di kecapi.

“Fokus utama kerajaan GRS adalah untuk memastikan segala perancangan untuk Rakyat dapat di segerakan,” kata Khairul Firdaus dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung ketika diminta menjelaskan apakah Umno Sabah akan merundingkan agihan kerusi dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang kelmarin berkata pihaknya akan terus berunding dengan parti sedia ada di negeri itu walaupun Umno memutuskan untuk menentang Bersatu pada PRU akan datang.

“Insya Allah, Umno (Sabah) akan berunding dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) nanti,” katanya kepada Malaysiakini.

Umno ketika ini adalah sekutu utama Bersatu dalam GRS yang menjadi kerajaan negeri, dengan Bung dilantik sebagai timbalan ketua menteri.

Ketika ucapannya di perhimpunan agung Umno, Bung meminta para perwakilan memahami situasi Umno Sabah.

Katanya, Umno Sabah harus menghormati mandat rakyat agar GRS berkuasa.

Bagaimanapun, Bung menegaskan Umno Sabah masih tetap menyokong majlis tertinggi Umno dan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Khairul berkata faktor utama negeri Sabah masih tidak dapat mengecapi kejayaan seperti yang diharapkan adalah di sebabkan sering kali bertukar kerajaan.

Oleh itu, katanya sudah tiba masanya perjuangan untuk rakyat menjadi agenda utama di dalam pentadbiran kerajaan GRS.

“Hubungan di antara parti parti yang lain di bawah payung GRS akan sentiasa di pelihara keharmonian supaya fokus utama kerajaan untuk mentadbir negeri dapat berjalan dengan lancar dan efektif.

“Perjuangan untuk hak-hak negeri Sabah dapat di perhebatkan lagi dengan adanya suatu gabungan yang kuat di bawah payung GRS,” tambahnya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *