Barisan hadapan HUSM mula terima suntikan vaksin


Petugas barisan hadapan yang juga kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mula menerima suntikan vaksin Covid-19 melibatkan 300 orang, hari ini.

Pengarahnya Prof Dr Ahmad Sukari Halim berkata, bagi fasa pertama dijangka seramai 2,952 orang kakitangan yang akan menerima kemudahan vaksin berkenaan.

“Suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama HUSM bermula hari ini, dan dijangka seramai 2,952 orang kakitangan akan menerima suntikan.

“HUSM tersenarai antara salah satu pusat pemberian vaksin (PPV) dan akan memulakan operasi suntikan vaksin Covid-19 mulai 1 Mac.

“Fasa pertama suntikan melibatkan petugas barisan hadapan HUSM serta warga kampus kesihatan yang dikenal pasti dan menyatakan persetujuan untuk menerima suntikan,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Dalam perkembangan itu Ahmad Sukari berkata, pihaknya juga menubuhkan jawatankuasa program vaksinasi Covid-19 kebangsaan peringkat kampus kesihatan diketuai Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Profesor Dr Mohd Imran Yusof bagi menyediakan semua maklumat diperlukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi program vaksinasi termasuk senarai petugas barisan hadapan HUSM serta kampus kesihatan.

Prof Dr Ahmad Sukari Halim

Katanya, jawatankuasa itu juga menyediakan lokasi, peralatan serta fasiliti yang bersesuaian di samping melatih pasukan petugas yang kompeten untuk mengendalikan program vaksinasi berdasarkan standard dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak KKM.

“Ia bagi menyempurnakan proses suntikan vaksin mengikut standard ditetapkan KKM termasuk dos pertama dan kedua berdasarkan jadual serta perancangan yang telah ditetapkan oleh KKM,” jelasnya.

Justeru katanya, pihak pengurusan HUSM berharap program vaksinasi itu berjalan dengan lancar mengikut jadual ditetapkan.

“Kita juga berharap tiada staf yang mengalami sebarang kesan sampingan vaksin yang diberikan.

“Diharap petugas barisan hadapan yang menerima vaksin juga mendapat perlindungan daripada jangkitan Covid-19, sekali gus dapat menjalankan tugas dalam usaha penjagaan kesihatan di negeri Kelantan khususnya.

“Kita juga berharap program vaksinasi seluruh negara semasa fasa kedua dan ketiga mendapat sambutan yang positif seluruh masyarakat, seterusnya membentuk imuniti kelompok untuk seluruh rakyat Malaysia,” kata Ahmad Sukari sambil merakamkan penghargaan kepada seluruh kakitangan HUSM yang memberi komitmen dalam program vaksinasi itu.

Sebagai rekod HUSM turut terjejas dengan penularan wabak Covid-19 yang meletus sehingga mewujudkan kluster Hilir pada November lalu termasuk seorang jururawat turut dilaporkan meninggal dunia



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *