3 kawasan di Sabah dikenakan PKPD


Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kolej kediaman di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu; Kampung Pagalungan Ansip, Keningau dan Kampung Kalindukan, Nabawan di Sabah bermula esok hingga 18 April.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD itu dilakukan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata berlaku penularan jangkitan dalam kalangan penghuni tiga kolej kediaman di universiti tersebut iaitu Kolej Kediaman Tun Mustapha, Kolej Kediaman Tun Fuad dan Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 133 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 19 kes positif Covid-19 telah direkodkan di ketiga-tiga kolej kediaman itu,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Sementara itu, beliau berkata 15 kes positif COVID-19 direkodkan di Kampung Pagalungan Ansip manakala lapan kes positif dikesan di Kampung Kalindukan.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan tindakan kawalan Covid-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan, seterusnya menghalang penularan dalam komuniti.

Selain itu, beliau berkata PKP di daerah Keningau, Sabah yang sepatutnya tamat hari ini dilanjutkan hingga 18 April apabila masih berlaku masih berlaku peningkatan kes dalam komuniti selain wujud beberapa kluster baharu dengan jumlah kes aktif dalam tempoh 14 hari adalah sebanyak 148.

“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 2,138 kes Covid-19 telah direkodkan dalam daerah ini dengan beberapa kampung telah dilaksanakan PKPD ketika ini,” katanya.

Ismail Sabri turut memaklumkan PKPD di Taman Guru, Kuantan, Pahang yang dijadual sehingga 9 April ditamatkan esok berikutan baki kes aktif di lokaliti itu terkawal.

Sementara itu, beliau berkata 248 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam dengan 228 dikompaun, tiga direman dan 17 lagi dijamin.

Bagi kawalan sempadan negara pula, beliau berkata 10 pendatang tanpa izin ditangkap dalam Operasi Benteng semalam, selain sebuah bot/kapal serta tiga kenderaan darat dirampas.

Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *